Oleh Zihan Zari
KANGAR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru orang ramai untuk memanfaatkan ‘Talian Kasih 15999’ yang beroperasi 24 jam setiap hari tanpa henti untuk sebarang kes penderaan atau pengabaian yang melibatkan anggota masyarakat khususnya kanak-kanak.
Talian ini , adalah talian khas di mana anda boleh meminta bantuan, membuat aduan, atau bercakap dengan seseorang jika anda rasa tidak selamat.
Menterinya, Dato’ Sri Hjh. Nancy Shukri berkata demikian ketika berucap pada program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak : Kasih Kanak-Kanak peringkat negeri Perlis 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, dekat sini pada Isnin.
Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Exco Kebajikan dan Pengurusan Bencana Perlis, Megat Hashirat Hassan, Ketua Setiausaha (KSU) KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Mengulas kes penderaan, beliau berkata kebanyakan masa, pelaku adalah orang yang dikenali oleh kanak-kanak itu, oleh itu penting untuk kita belajar bagaimana mengenali apabila sesuatu tidak betul dan tahu kepada siapa kita boleh minta bantuan.
Menurutnya, dari 2018 hingga 2023, terdapat lebih kurang 3,597 kes penderaan kanak-kanak di Malaysia dan sebanyak 65 kes telah dilaporkan di Perlis.
Menurutnya lagi, kanak -kanak merupakan aset penting yang bakal mencorak masa hadapan negara , mereka juga perlu tahu hak mereka sebagai kanak-kanak iaitu hak untuk hidup, hak untuk dilindungi, hak untuk perkembangan dan hak untuk penyertaan.
“Kita perlu memastikan tiada siapa yang boleh mencederakan mereka , mengabaikan keperluannya, atau melakukan apa-apa yang boleh membuatkan mereka rasa tidak selamat.
“Salah satu isu yang amat penting untuk kita bincangkan hari ini adalah penderaan dan pengabaian kanak-kanak, apabila kanak-kanak dicederakan atau tidak dijaga dengan baik dan malangnya kita masih sering mendengar tentang kes-kes seperti ini.
“Program ini bertujuan untuk membantu semua orang mengetahui apa yang perlu dilakukan jika seorang kanak-kanak berada dalam bahaya,”katanya.
“Kita semua boleh membantu, menghentikan penderaan kanak-kanak (pause for response).
“Bukan sahaja polis, tetapi guru, ibu bapa, jiran, malah anda sendiri dan dengan bersuara dan sentiasa peka, kita semua memainkan peranan dalam melindungi satu sama lain,”katanya lagi.
“Kementerian telah menetapkan sasaran untuk menjalankan program ini di 300 buah sekolah tahun ini dan dijangka memanfaatkan 150 ribu kanak-kanak.
“Sehingga 25 Oktober lalu, sebanyak 288 sekolah telah melaksanakan program seperti ini, yang telah melibatkan lebih 140,000 pelajar.
“Ianya melibatkan ceramah dan pameran agensi yang memberi pendedahan serta maklumat penting kepada masyarakat dan kanakkanak, khususnya mengenai langkah-langkah yang perlu diambil jika terdedah kepada penderaan,”ujarnya.
“Ini adalah untuk membantu anda semua merasa selamat, dilindungi, dan berani untuk bersuara.
”Ingat anda mempunyai kuasa untuk membuat perubahan dengan sentiasa peka, menjaga keselamatan diri, dan membantu orang lain, ”pesannya.
Menerusi kenyataan KPWKM memaklumkan, masyarakat juga boleh membuat aduan menerusi Whatsapp 019-2615999 dan mobil aplikasi Talian Kasih 15999.
“JKM terus komited dalam usaha menangani isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.
“Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak adalah inisiatif KPWKM yang bertujuan untuk menangani dan mencegah kes penderaan serta pengabaian kanak-kanak, termasuk kes-kes yang membawa kepada kematian, ” kata kenyataan itu -SUARA.TV