Tindakan PH Letak Calon Melayu DAP Cetus Sentimen Tidak Baik Kepada Pengundi – Phahrolrazi

- Advertisement -

GURUN – Tindakan Pakatan Harapan (PH) memutuskan meletakkan calon Melayu DAP di Parlimen Jerai dijangka menimbulkan sentimen dan persepsi tidak baik kepada pengundi seluruh negara.

Bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, konflik PH di negeri ini berpunca apabila pimpinan parti itu memutuskan melakukan pertukaran kerusi bersama DAP.

Jelasnya, proses pertukaran membabitkan penyerahan kerusi Jerai kepada DAP dan Alor Gajah diserahkan kepada Amanah tidak pernah dibincangkan di peringkat negeri dan hanya diketahui pada awal Oktober lalu.

“Mengikut rundingan awal antara Amanah dan PKR di Kedah, PKR akan bertanding sembilan kerusi dan baki enam kerusi akan ditandingi Amanah.

“Bagaimanapun, tiba-tiba DAP menuntut Baling dan Jerai menyebabkan Amanah dan PKR membuat pendirian bahawa belum tiba masanya DAP melebarkan sayap ke kawasan luar bandar majoriti Melayu.

“Ini kerana sejak sekian lama Amanah berhadapan masalah apabila dituduh menjadi kuda tunggangan dan barua kepada DAP, jadi akan sukar sekiranya calon DAP bertanding di Jerai,” katanya pada sidang media di Pejabat Amanah Parlimen Jerai di sini, hari ini.

Semalam, PH mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff, sebagai calon di kerusi Parlimen Jerai, satu-satunya kerusi Parlimen yang akan ditandingi DAP di negeri ini, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Phahrolrazi tidak hadir pada majlis yang diadakan di Sungai Petani malam semalam, sebagai tanda protes, sebelum pengumuman pemecatan keahlian beliau parti oleh Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah menjelaskan, berdasarkan rundingan awal, DAP hanya diperuntukkan dua kerusi DUN iaitu di Derga dan Kota Darulaman.

Namun, katanya, DAP terus membuat tuntutan kerusi Parlimen apabila mengatakan mereka mempunyai pemimpin Melayu sehingga berlaku rundingan di peringkat pucuk pimpinan PH.

“Kami berpendapat di Kedah yang mempunyai kira-kira 75 peratus pengundi Melayu, mereka ada persepsi dan sentimen tidak boleh menerima DAP.

“Sedangkan Amanah banyak bergantung kepada undi Melayu di Kedah. Isu ini akan memberi kesan kepada prestasi parti bukan sahaja di Kedah tetapi juga di seluruh negara pada pilihan raya kali ini.

“Kita yang sebenarnya memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyerang Amanah dalam isu ini dan mereka akan membuat pelbagai tuduhan negatif kepada PH,” katanya.

Mengulas mengenai pemecatannya, Phahrolrazi berkata, beliau tidak sedih dipecat parti yang diasaskannya secara bersama bekas pemimpin Pas yang dibuang pada 2012.

“Saya masuk Amanah dahulu bukan seperti pemimpin lain yang bersendirian, saya ada kumpulan penyokong yang mengikut di Kedah, Perak dan Kelantan.

“Tujuan saya menimbulkan isu ini adalah kerana mahu melihat PH menang pada PRU-15 dan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi berikutan tindakan pimpinan atasan, saya dan kumpulan kami tidak akan menyertai PRU-15 dan terpulang kepada penyokong Amanah mahu mengundi PH atau tidak,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat