Pengerusi Amanah Kedah Dipecat Berkaitan Isu Beri Kerusi Parlimen Kepada DAP

- Advertisement -

ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (Amanah) memecat keahlian Pengerusi Amanah Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, kerana didapati melanggar perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Amanah Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, Phahrolrazi mengingkari keputusan-keputusan parti dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Beliau berkata, pemecatan dibuat berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2(b) Jawatankuasa Pengurusan Nasional Parti Amanah Negara yang bermesyuarat, hari ini.

“Sehubungan itu, Datuk Dr Ismail Salleh, Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Kedah, akan menjalankan tugas-tugas Pengerusi Amanah Negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, kedua-dua keputusan itu berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Mengkudu dijangka mengadakan sidang media di Pejabat Amanah Jerai di Guar Chempedak, petang ini.

Sidang media itu berkaitan pemberian kerusi Parlimen Jerai kepada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Semalam, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Kedah Zulhazmi Shariff sebagai calon di kerusi itu, satu-satunya kerusi Parlimen yang ditandingi DAP di negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abd Samad dalam kenyataan berkata, Jawatankuasa Pengurusan Nasional parti itu, mengambil keputusan memecat Phahrolrazi kerana tindakan beliau menghasut ahli dan pimpinan Amanah Kedah, memboikot pilihan raya kali ini.

Beliau berkata, walaupun berbeza pandangan dalam strategi parti dan agihan kerusi, tindakan menghasut ahli dan pemimpin agar memboikot pilihan raya, tidak wajar dan tidak boleh diterima.

“Ia bagaikan tindakan sabotaj dan menjejaskan kepentingan Amanah dan PH. Amanah mengucapkan ribuan terima kasih di atas jasa-jasa beliau selama ini dan menjadi pemimpin awal yang sama-sama menubuhkan Amanah dan menjadi pemimpin Amanah di Kedah, namun tindakan beliau adalah keterlaluan,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat