Calon Melayu DAP Pada PRU15 Hanya Boneka – Mahdzir Khalid

- Advertisement -

PADANG TERAP – Tindakan DAP meletakkan ramai calon Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanyalah sebagai boneka bagi menunjukkan parti itu bersifat majmuk.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan itu juga adalah sebahagian strategi dan taktik DAP untuk meraih undi Melayu.

“Saya fikir tindakan itu adalah sebahagian daripada taktik untuk menunjukkan DAP parti berbilang kaum sedangkan kita semua tahu bahawa keputusan dalam parti tersebut, dibuat oleh sekumpulan individu tertentu saja.

“Kemudian mereka jadikan calon-calon Melayu sebagai boneka untuk menampakkan bahawa DAP merupakan sebuah parti majmuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Merasmikan Himpunan Anggota Kumpulan Pelaksana dan Pesara Kumpulan Pelaksana Pendidikan Daerah Padang Terap serta Ketua-Ketua Pembantu Tadbir Peringkat Negeri Kedah di Dewan Istiqlal, Masjid Sultan Sallehuddin di Pulau Kijang, Kuala Nerang, dekat sini, hari ini.

Tambah Mahdzir, DAP pada hakikatnya tahu ada antara calon yang ditampilkan tidak mempunyai potensi untuk menang.

“Kita tahu mereka ini tak boleh menang pun tetapi DAP letak saja sebagai calon kerana apabila ada yang bercakap mengenai calon Melayu, mereka boleh tunjukkan bahawa mereka letakkan peratusan calon Melayu lebih tinggi kali ini.

“Maka mereka bolehlah katakan kepada umum bahawa parti itu memang sudah meletakkan orang Melayu sebagai calon tetapi tak dapat berbuat apa-apa kerana calon tersebut kalah,” katanya.

Beliau bagaimanapun yakin rakyat di negara ini sudah cukup arif untuk membuat penilaian sendiri dan tidak termakan dengan taktik itu.

“Dalam keadaan pelbagai kaum hidup secara bersederhana, DAP itu sendiri sudah dicap dalam minda orang ramai sebagai kumpulan agak ekstrem kepada kaum Cina,” kata Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Pada PRU kali ini, DAP dilihat menampilkan lebih ramai calon Melayu antaranya Syahredzan Johan di Bangi, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Lipis, Sheikh Umar Bagharib Ali di Ayer Hitam serta Young Syefura Othman di Bentong.

Terbaru, parti itu turut mengumumkan calon Melayu di Jerai iaitu Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff.

Tindakan DAP itu bagaimanapun dikatakan tidak disenangi rakan sekutu mereka iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Kedah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,478FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat