Selepas Puluhan Tahun, Impian Grid Kuasa ASEAN Kembali Hidup

KUALA LUMPUR — Di rabung pergunungan terpencil di selatan Laos, sebanyak 133 turbin angin mula berputar bulan lalu, menjana tenaga untuk ladang angin darat terbesar di Asia Tenggara.

Projek Tenaga Angin Monsoon, dengan kapasiti terpasang 600 megawatt (MW), menyalurkan elektrik sejauh 27 kilometer ke Vietnam, sebelum disambungkan lagi ke 44 kilometer talian grid di bawah perjanjian selama 25 tahun. Projek bernilai AS$950 juta ini dikendalikan oleh konsortium yang diketuai Thailand, dengan penyertaan Mitsubishi Corp. dari Jepun, dan dibina oleh PowerChina dari China.

Impact Electrons Siam (IES), syarikat tenaga boleh baharu Thailand yang menerajui projek ini, merancang melabur tambahan AS$1.7 bilion bagi menambah sehingga 1 gigawatt kapasiti menjelang 2030 peluasan yang akan menjadikannya antara fasiliti tenaga angin terbesar di Asia.

“Selain menyalurkan tenaga ke Vietnam, kami boleh simpan sebahagian kapasiti untuk bekerjasama dengan negara lain, kini setelah terbukti projek ini berfungsi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Nat Hutanuwatr.

“Pintu mungkin terbuka untuk negara lain, khususnya Singapura. Mereka benar-benar memerlukan tenaga sebegini sekarang.”

Ladang angin Monsoon ini memberi gambaran kepada konsep “supergrid” ASEAN yang dibayangkan lebih 30 tahun lalu. Grid Kuasa ASEAN bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga rantau ini, dengan aspirasi operasi merentas sempadan sepenuhnya menjelang 2045.

Namun kemajuan masih perlahan. Daripada 18 projek interkoneksi kuasa yang dirancang, hanya separuh siap kebanyakannya daratan manakala yang lain masih di peringkat awal. Inisiatif ini terbantut akibat kehendak politik yang tidak seimbang serta kos tinggi membina kabel dasar laut. Menurut Bank Pembangunan Asia (ADB), rantau ini memerlukan sekurang-kurangnya AS$100 bilion menjelang 2045 hanya untuk talian penghantaran, manakala anggaran rasmi ASEAN meletakkan jumlah kos keseluruhan mencecah AS$764 bilion.

Pasaran elektrik yang tidak seragam dan perbezaan piawaian teknikal turut menjadi cabaran. Namun penganalisis melihat momentum politik dan industri semakin meningkat, sejajar dengan lonjakan permintaan tenaga bersih, desakan nyahkarbon, serta usaha menarik pelaburan asing dalam sektor bernilai tinggi seperti pusat data dan semikonduktor. Taruhannya besar, kerana bahan api fosil masih menyumbang lebih 90% daripada campuran tenaga rantau ini.

Halangan

“Halangan terbesar kepada integrasi tenaga ialah kemahuan politik untuk mendorong visi ini,” kata Sharon Seah, Felo Kanan di ISEAS-Yusof Ishak Institute Singapura. Namun beliau mengakui terdapat “lonjakan momentum” di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini.

“Isu institusi, peraturan dan teknikal boleh diatasi dengan mudah sebaik sahaja wujud kemahuan politik.”

Pertama kali disokong pada 1997, blok serantau ini kini menyasarkan lebih 17.5 GW kapasiti rentas sempadan menjelang 2040, meningkat daripada 7.7 GW pada 2024.

Menurut Matthew Wittenstein, pegawai kanan kesalinghubungan tenaga di UNESCAP, inisiatif ini pada awalnya kekurangan analisis menyeluruh.

Pendekatan konsensus ASEAN sedikit menyukarkan usaha mengimbangi “trilema tenaga” iaitu kemampuan, keselamatan dan kelestarian. Namun, katanya, semakin jelas bahawa ia bukan pertukaran besar seperti yang disangka.

Satu kajian bersama Singapura dan Jabatan Tenaga A.S. pada 2024 meramalkan perdagangan kuasa serantau boleh meningkatkan pertumbuhan KDNK ASEAN sebanyak 0.8 mata peratusan kepada 4.6%, serta mewujudkan 2,000 hingga 9,000 pekerjaan setiap tahun.

Kajian oleh ERIA pula menganggarkan kos elektrik pengguna boleh turun sehingga 3.9% dengan grid serantau yang lebih bersepadu.

Permintaan tenaga Asia Tenggara melonjak. Menurut IEA, rantau ini dijangka menyumbang suku pertumbuhan permintaan tenaga global menjelang 2035, kedua selepas India. Menjelang pertengahan abad, permintaan tenaga rantau ini akan mengatasi Kesatuan Eropah. Lapan anggota ASEAN telah berikrar capai sifar bersih, kebanyakannya pada 2050, kecuali Filipina dan Myanmar.

“Setiap negara kini ada sasaran iklim, dan untuk mencapainya, mereka tidak boleh bergerak sendiri,” kata Nadhilah Shani, Ketua Penjanaan dan Interkoneksi Kuasa di ASEAN Centre for Energy. Laporan bersama Bain & Company dan Temasek Holdings menganggarkan kesalinghubungan serantau boleh mengurangkan kos nyahkarbon sebanyak AS$800 bilion, atau 11%, berbanding jika negara bergerak secara bersendirian.

Projek Monsoon sendiri tidak mudah. Walaupun pembinaannya hanya mengambil masa dua tahun lebih sedikit dan siap empat bulan lebih awal, rundingan berlarutan lebih 10 tahun sejak 2011. Akhirnya, Vietnam Electricity (EVN) bersetuju membeli tenaga tersebut dengan syarat harga kekal mampu milik, dan syarikat Thailand menjalankan semua kajian titik sambungan. Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) ditandatangani pada 2022.

“Yang bagus tentang Vietnam ialah mereka tidak pernah kata tidak,” kata Nat. “Cuma mereka beri kerja rumah yang sangat sukar.”

Sokongan pelabur turut penting. ADB yang bekerjasama dengan IES sejak 2015 mengetuai proses semakan teliti dan menyusun pakej pembiayaan AS$692.6 juta, termasuk pinjaman konsesi dan geran bersama bank-bank swasta dari Thailand dan Jepun.

Kesungguhan Anwar

Sejak Januari lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pengerusi ASEAN, menunjukkan komitmen jelas mengangkat Grid Kuasa ASEAN sebagai agenda utama rantau ini.

Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, beliau menyebut tentang pembentukan grid yang meliputi Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, termasuk inisiatif kabel bawah laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura. Anwar menekankan projek sebegini memerlukan sokongan antarabangsa seperti Jepun.

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei 2025, Anwar mengumumkan Malaysia akan memimpin fasa pertama integrasi grid kuasa serantau melalui sambungan Vietnam–Malaysia–Singapura. Beliau menegaskan ASEAN kini bergerak daripada retorik kepada projek nyata yang memberi impak ekonomi dan kelestarian.

Pada Julai 2025, semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Vietnam, Anwar mengulangi sokongan penuh Malaysia terhadap usaha memperkukuh grid serantau, menyanjung peranan Hanoi sebagai rakan penting.

Seterusnya pada Ogos 2025, ketika sambutan Hari ASEAN ke-58, beliau menekankan bahawa Grid Kuasa ASEAN bukan sekadar instrumen teknikal, tetapi pemangkin kepada pasaran tenaga mampan dan bersepadu, serta aset strategik untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor baharu seperti pusat data dan semikonduktor.

Malaysia turut mengutamakan hubungan rentas sempadan. Pada sidang yang sama, Kuala Lumpur, Singapura dan Vietnam bersetuju meneroka penghantaran kuasa boleh baharu dari Vietnam melalui Malaysia ke Singapura, menggunakan gabungan sambungan dasar laut dan daratan. Sarawak, pusat tenaga hidro Malaysia, juga merancang menyambung ke Sabah menjelang akhir tahun melalui kabel 34 kilometer, selain bekerjasama dengan syarikat Singapura bagi mengeksport 1 GW tenaga ke republik itu.

Walaupun pelaburan tenaga boleh baharu di ASEAN semakin meningkat AS$43 bilion pada 2022 dengan kadar pertumbuhan 15% setahun Grid Kuasa ASEAN masih berdepan cabaran besar: perbezaan pasaran, piawaian teknikal, serta kos kabel dasar laut yang tinggi.

Projek besar seterusnya, BIMP-PIP (Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina Power Integration Project), bakal melibatkan kabel dasar laut mahal dengan aliran dwiarah tenaga geoterma, solar dan hidrogen. Sidang Kemuncak ASEAN akan menguji sejauh mana pemimpin mampu bergerak melangkaui jaringan dwihala menuju grid serantau sebenar.

Malaysia dijangka memimpin pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkatkan mengenai Grid Kuasa, termasuk penjajaran teknikal dan mekanisme kewangan perdagangan rentas sempadan.

“Pada tahap ASEAN, perjanjian multilateral diperlukan untuk menyediakan kerangka jelas yang boleh diterapkan di setiap negara,” kata Ardhi Rasy Wardhana dari CSIS Indonesia.

“Tanpanya, perjanjian dwihala kekal terdedah kepada turun naik harga komoditi kerana ia pada asasnya berfungsi seperti eksport dan import, ia boleh dijadikan senjata yang merugikan satu pihak.” — Suara.TV / Asia Nikkei

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat