KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diutamakan, termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.
Selain itu Anwar juga meminta agar Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) yang disemak semula ini akan diperluas pelaksanaannya bukan sahaja di universiti awam dan swasta, tetapi juga di semua institut latihan di negara kita.
Tegas beliau, usul ini juga akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperkukuh kesedaran kebangsaan demi melahirkan generasi yang berilmu, berjiwa besar dan cintakan negara.
“Pagi ini, saya menerima pembentangan daripada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung Cadangan Semakan Semula Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU).
“Cadangan ini dirangka hasil libat urus bersama pelbagai pihak termasuk sarjana, universiti awam, MQA, AKEPT, SPRM, Kementerian Pertahanan dan lain-lain melalui kajian keberkesanan serta hala tuju baharu pelaksanaan MPU.
“Saya menyambut baik usaha untuk menambah baik kandungan, bilangan dan pendekatan MPU agar lebih segar, relevan serta berkesan dalam membina nilai kenegaraan dan semangat patriotisme.
“Sebagai langkah awal, saya telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk turut berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diutamakan, termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa,” tegas Anwar.



