Kehadiran Trump bukan soal pengiktirafan terhadap dasar peribadi tetapi kepada ASEAN – PMO

KUALA LUMPUR – Menolak kedatangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke ASEAN bukanlah jalan penyelesaian. 

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan, prinsip diplomasi menuntut kita menyuarakan kebenaran secara berdepan, bukan mengelak.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dengan cara ini, Malaysia bukan sahaja menzahirkan solidariti kepada Gaza, tetapi juga menunjukkan kebijaksanaan sebagai tuan rumah yang berani, tegas dalam prinsip, dan matang dalam diplomasi. 

“Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta pemimpin-pemimpin dunia lain ke Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada mandat diplomasi yang diamanahkan kepada Malaysia. 

“Ia bukan soal pengiktirafan terhadap dasar peribadi mana-mana pemimpin, tetapi suatu pengiktirafan kepada ASEAN dan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi,” jelas beliau dalam taklimat harian PMO pada Selasa.

Jelasnya, Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum wujud pandangan daripada beberapa pihak, termasuk tokoh politik tanah air, yang menuntut jemputan kepada Trump ditarik balik atas dasar pandangan beliau terhadap isu Palestin. 

Justeru katanya, pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak pernah berubah ia jelas, tegas, dan konsisten sejak dahulu. 

“Perdana Menteri sendiri adalah antara suara paling lantang di dunia dalam membela Gaza, mengecam kekejaman Israel, dan mengetuai suara moral umat Islam di pentas antarabangsa.

“Bahkan pandangan tegas ini telah disuarakan sendiri oleh Perdana Menteri di hadapan bekas Presiden AS sebelum ini,” katanya.

Pada masa yang sama Tunku Nashrul memaklumkan, Malaysia membawa suara ASEAN agar sidang kemuncak kali ini tidak hanya tertumpu kepada isu geopolitik semata-mata, tetapi lebih kepada agenda bersama memperkukuh kerjasama ekonomi, menarik pelaburan strategik, memperluas perdagangan, serta mempercepat integrasi rantau ini sebagai kuasa ekonomi dunia. 

Katanya, ASEAN mesti bersuara dengan satu nada, memanfaatkan peluang dengan semua rakan dialog bukan sahaja Amerika Syarikat, tetapi juga China, Jepun, Korea, Australia, dan GCC.

Jelas beliau lagi,  inilah kepimpinan yang Malaysia tawarkan kepimpinan yang menegakkan prinsip keadilan sejagat, terus istiqamah membela Palestin, dan pada masa sama memikul tanggungjawab besar sebagai pengerusi ASEAN untuk membina rantau yang makmur, stabil, dan sejahtera. 

“Kerajaan Madani akan memastikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur menjadi bukti bahawa Malaysia mampu memimpin dengan hikmah lantang membela yang tertindas, cekal memperjuangkan kepentingan rakyat, dan bijaksana mengimbangi diplomasi global,” katanya.

Mengulas lanjut Tunku Nashrul menegaskan, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Oktober ini amat bersejarah, kerana Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memikul amanah besar untuk memastikan semua rakan dialog hadir ke meja rundingan. 

“Perlu diingat, kepengerusian ASEAN datang hanya sekali setiap dekad, dan inilah kali terakhir Malaysia mengetuai sebelum menyerahkannya kepada Filipina. 

“Justeru, kita wajib menggunakan kesempatan ini untuk memimpin dengan sebaik mungkin, membawa suara ASEAN ke peringkat global. 

“ASEAN bukan sekadar satu perkumpulan serantau, tetapi satu komuniti strategik yang berhubungan rapat dengan kuasa besar dunia melalui platform tetap seperti Sidang Kemuncak ASEAN Amerika Syarikat, ASEAN–China, ASEAN–Jepun, ASEAN Korea, ASEAN–Australia, ASEAN–GCC, ASEAN–PBB, Sidang Kemuncak Asia Timur dan banyak lagi,” jelasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat