KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar laluan kemasukan bantuan ke Gaza tidak dihalang oleh mana-mana pihak.
Tegas Anwar yang juga Penaung inisiatif kemanusiaan Sumud Nusantara, hal ini kerana sebarang halangan hanya akan menambah derita penduduk yang sudah pun berada dalam keadaan kritikal.
“Sebagai penaung kepada inisiatif kemanusiaan Sumud Nusantara yang kini giat melaksanakan misi bantuan ke Gaza, Perdana Menteri sentiasa memantau rapat perkembangan aktivis kemanusiaan dari negara kita yang kini telah memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman daripada Israel.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong usaha kemanusiaan ini, selaras dengan prinsip solidariti dan keadilan yang menjadi asas Malaysia Madani,” kata Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah.
Ujarnya, keberanian serta ketabahan para aktivis yang membawa misi amanah ini amat dihargai Perdana Menteri kerana ia mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap penderitaan saudara kita di Gaza.
“Perdana Menteri turut mendesak agar laluan kemasukan bantuan ke Gaza tidak dihalang oleh mana-mana pihak, kerana sebarang halangan hanya akan menambah derita penduduk yang sudah pun berada dalam keadaan kritikal.
“Pada masa yang sama, beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati mendoakan keselamatan serta menyalurkan sokongan berterusan kepada usaha kemanusiaan yang murni ini,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Selasa.



