5.8 juta Undi18 didaftar

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Sejumlah 5.8 juta pe­milih berumur 18 tahun dan ke atas sudah didaftarkan dan mereka boleh melakukan semakan dan pengesahan diri sebagai pengundi secara automatik ber­mula esok sehingga 31 Oktober.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR akan mempamerkan maklumat pemilih terlibat melalui pro­ses Semakan Pra-Pendaftaran Pemilik Automatik (SPPA) itu.

“Ia akan memberi peluang ke­pada mereka untuk menye­mak dan mengesahkan rekod,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.

Urusan tersebut ujar beliau, boleh dibuat melalui kaedah sa­ma ada dengan menggunakan terus aplikasi MySPR SPPA menerusi pautan laman rasmi https://mysprsppa.spr.gov.my.

Pemilih juga boleh hadir ke 604 tempat semakan di seluruh negara dan mengimbas kod respons pantas atau QR Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang akan diletakkan di lokasi itu.

Dalam tempoh itu katanya, warganegara Malaysia berusia le­bih 18 tahun boleh menye­mak, me­ngesahkan maklumat dan membuat aduan kepada SPR sebelum didaftarkan secara auto­matik.

“Sekiranya tidak tinggal di alamat yang dipaparkan, bakal pemilih dinasihatkan mengemas kini alamat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara sebelum 31 Oktober,” katanya.

Ikmalrudin menambah, jika ada sebarang pertanyaan, mereka boleh menghubungi pejabat SPR negeri atau hotline SPR ia­itu 03-88927018 atau layari portal www.spr.gov.my.

Langkah agensi bebas itu memperkenalkan SPPA antara sebahagian inisiatif pendaftaran automatik termasuk kalangan pengundi berumur 18 tahun ke atas menjelang 31 Disember.

Persiapan juga melibatkan pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang yang berkaitan pelaksanaan had usia minimum tersebut.

Usaha itu selaras dengan keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak pada 3 September lalu dalam isu Undi18 yang telah diluluskan kerajaan terdahulu.

Sementara tu, parti pembangkang meletakkan sasaran melebihi 20 peratus melibatkan golongan muda untuk diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang Muda), Akif Rusli berkata, walaupun belum menetapkan unjuran sebenar tetapi ia sebagai menyahut kenyataan Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa parti itu akan membuka ruang kepimpinan lebih besar untuk calon muda.

“Dari segi peratusan anak muda, tak boleh nak cakap lagi sebab di peringkat parti sedang dirunding tetapi yang jelas, di sayap pemuda akan menterjemahkan apa yang Dr. Mahathir telah kata bahawa pemimpin muda akan lebih diketengahkan.

“Yang pasti keutamaan Pejuang untuk penglibatan calon muda ini tidak terlibat dengan kes-kes rasuah, berintegriti dan menolak golongan kleptokrat,” katanya ketika dihubu­ngi semalam.

Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd. Azis Jamman pula berkata, partinya sejak dahulu memang memberi peluang kepada golongan muda menceburi bidang politik.

Bagaimanapun, katanya, go­longan muda perlu memastikan diri disenangi dan dikenali rakyat tanpa perlu bergantung dengan saluran yang telah diberikan parti untuk menyerlah identiti mereka.

“Jangan kerana kita adalah anak muda dan berpendidikan, tetapi kita hanya mengharapkan diberi peluang oleh parti namun tidak pun dikenali di peringkat bawah.

“Warisan akan memain­kan peranan sebagai parti yang mendukung proses demokrasi dan semak dan imbang malah fokus kepada usaha memenangi hati rakyat pada pilihan raya akan datang.

“Kami di sini adalah untuk membina negara yang tidak terikat kepada batas-batas agama dan bangsa, sebaliknya konsep kesatuan yang boleh diutarakan kepada rakyat,” katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda Pusat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang pula berkata, setiap hari merupakan hari berkempen bagi menarik le­bih ramai calon muda sekali gus menjadi pelapis pimpinan parti masa hadapan.

Ketika ini, katanya, usaha menarik golongan berkenaan masih giat dijalankan melalui pelbagai saluran maya termasuk media sosial, aplikasi Zoom dan Clubhouse bagi mendapatkan input daripada orang muda. – UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat