Penjawat Awam terima bantuan khas RM700, pesara RM350 -PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 dibayar kepada 1.3 juta penjawat awam, dalam kumpulan Gred 56 dan ke bawah, di samping sejuta pesara kerajaan menikmati bantuan sebanyak RM350.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesemua ini melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan berjumlah RM1.3 bilion.

Inisiatif lain yang diumum Perdana Menteri ialah pembiayaan insuran kenderaan melalui myezycover.com bagi kemudahan 1.6 juta penjawat awam.

“Dengan inisiatif tersebut, pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan, boleh dibuat tanpa bayaran pendahuluan dan faedah.

“Selain itu, Inisiatif Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100,000 untuk manfaat 40,000 peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA),” katanya sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Putrajaya pada Selasa.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mengumumkan penurunan kadar pembiayaan skim pembiayaan komputer dan telefon pintar untuk penjawat awam daripada 4 peratus kepada 2 peratus.

Juga kerajaan membenarkan penjawat awam yang kematian suami atau isteri untuk bekerja dari rumah (BDR) sebaik sahaja tempoh tiga hari cuti tanpa rekod tamat, mengikut tempoh yang bersesuaian.

Keluh kesah anggota perkhidmatan awam sentiasa didengari oleh kerajaan. Justeru, Kerajaan bersetuju agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan.

“Sementara menanti kajian Sistem Saraan yang baharu itu selesai, bersesuaian dengan kedudukan dan kewangan negara pada masa ini, sukacita saya mengumumkan untuk menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

“Kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka. Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan sekaligus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak.

“Kedua, tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun. Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi,” umum Perdana Menteri lagi.

Selain itu, beliau turut mengumumkan perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

“Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam.

“Juga penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum. Kerajaan telah bersetuju menambahbaik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022. Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara ini.

“Berita gembira lain ialah Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023.

“Seramai 1.28 juta penjawat awam akan menerima manfaat ini dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

“Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada tahun 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada tahun 2023 adalah sebanyak RM180.

“Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023. Dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara Kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari 2023,” umum beliau.

Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi kerajaan.

“Saya menyeru semua penjawat awam yang bersama untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat