Kukuhkan perpaduan Islam dunia, tolak pelampau – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 dapat mencari kata sepakat dan memainkan peranan efektif ke arah kesatuan dan mewujudkan khaira ummah.

Dalam ucapan perasmiannya beliau juga berharap semua input dan pandangan yang dibincangkan sepanjang persidangan ini dapat diterjemahkan kepada satu usaha yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.

“Persidangan ini diadakan ketika umat Islam masih berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pertikaian sesama sendiri, provokasi pihak tertentu dan Islamophobia atau pandangan prejudis terhadap Islam.

“Saya berpendapat, penyelesaiannya perlu dicari dan ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak supaya kesucian agama Islam dan solidariti ummah dapat dipertahankan,” ucap Ismail Sabri pada Khamis.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Konsep Keluarga Malaysia ini mampu disempurnakan oleh para ulama dan Ilmuwan Islam dengan memberi pendekatan erti kata kesatuan melalui Konsep Keluarga berlandaskan Islam.

“Kerajaan sedar ulama dan Ilmuwan Islam memainkan peranan yang penting bagi memastikan landasan yang dipilih bertepatan dengan jalan yang lurus, siratul mustaqim.

“Justeru kita sentiasa mengalu-alukan pandangan dan nasihat ulama serta Ilmuwan Islam demi kesejahteraan Keluarga Malaysia di dunia dan di akhirat,” ujarnya.

Sementara itu Perdana Menteri turut membangkitkan insiden ketika dunia Islam digemparkan dengan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di India melalui tindakan yang bersifat provokasi sehingga menggugat keharmonian masyarakat berlainan agama di negara berkenaan.

Menurutnya, insiden berkenaan mendapat bantahan bukan sahaja daripada umat Islam di India, tetapi juga masyarakat antarabangsa termasuklah Malaysia.

“Tindakan menghina Rasulullah SAW merupakan perkara yang amat sensitif dan menjadi kewajipan seluruh masyarakat Islam untuk bertindak balas tetapi ia perlu dilakukan mengikut kerangka tuntutan agama.

“Ini adalah untuk mengelakkan kita terperangkap dengan mainan pihak tertentu yang ingin mencetuskan permusuhan antara penganut pelbagai agama.

“Begitu juga tentang kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang ditindas secara berterusan dan dibunuh dengan kejam tanpa adanya sebarang usaha untuk menghalang dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Ketika lawatan saya ke Amerika Syarikat tempoh hari, saya telah membangkitkan supaya isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujar beliau lagi.

Tegas beliau lagi, perpaduan dan kesatuan ummah perlu menjadi keutamaan umat Islam, sepertimana dianjurkan oleh prinsip Fiqh Keutamaan (fiqh awlawiyyat) berikutan meningkatnya ancaman terhadap kesucian Islam kebelakangan ini.

Kata Ismail Sabri lagi, pengukuhan perpaduan dan kesatuan ummah hendaklah berasaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ujarnya, pendekatan ini penting bagi memastikan dakwah dan penyampaian ajaran Islam bertepatan dengan kehendak Islam, bersifat wasatiyah dan memberi rahmat kepada sekalian alam.

“Umat Islam perlu disedarkan bahawa usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi.

“Tumpuan utama adalah kemaslahatan ummah serta menolak fahaman pelampau dan ekstrem,” seru beliau.

Justeru katanya, semua ulama dan ilmuwan Islam perlu berbincang, bermuafakat, bersatu dan menggembleng pemikiran masing-masing bagi menghasilkan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi umat Islam seluruh dunia.

“Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai satu ummah,” ucap beliau

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat