#PRKDUNCHINI : Norma Baharu dan Peranan RTM

- Advertisement -

Oleh Ab Jalil Backer

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Chini, Pahang pada 4 Julai 2020. Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 20 Jun, manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun.

PRK ini diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 7 Mei lalu. Allahyarham menjadi ADUN Chini dalam Parlimen Pekan selama empat penggal berturut sejak Pilihanraya Umum-11 (PRU11).

Pada PRU-14 lalu, Allahyarham selaku calon Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dengan undi sebanyak 10,027. Pada pertembungan itu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnin (1,065).

Cabaran Demokrasi Ketika Covid-19

Ini kali pertama kita akan berhadapan PRK dalam keadaan tidak boleh berkumpul ramai-ramai dan berkempen secara himpunan awam. Partisipasi dan kebebasan berkempen adalah salah satu elemen penting dalam sistem demokrasi.

Namun SPR harus memastikan proses PRK DUN Chini selari dengan arahan kerajaan bagi kawalan pencegahan Covid-19. Dengan kata lain tiada perhimpunan melebihi 20 orang, duduk mesti berjarak lebih satu meter setiap orang.

Beberapa norma baharu ini harus dilaksanakan bagi mengelak penyebaran Covid-19. Harus ada iltizam dan usaha untuk mengawal dan memelihara keadaan Zon Hijau Covid-19 di kawasan Pekan, Pahang tanpa menjejaskan proses demokrasi.

Pada hemat saya, adalah molek jika PRK ini kali ini dijadikan sebagai pilihan raya dalam negeri sahaja.
Maksudnya mereka yang di luar negeri Pahang tidak seharusnya dibenarkan datang merayu undi atau menyebarkan apa-apa bahan publisiti kempen walaupun mempunyai kebenaran merentas negeri sebagai wakil rakyat. Malah pembabitan petugas media juga perlu dihadkan kepada yang telah beroperasi di Pahang sahaja.

Bagi memastikan setiap calon mendapat keadilan dalam kempen, maka RTM sebagai media penyiar kerajaan perlu memberi ruang ke udara (airtime) selama 30 minit untuk setiap calon memperkenal diri dan bercakap mengenai visi mereka.

Radio Malaysia Pahang juga perlu memberi ruang masa yang sama adil untuk calon-calon berkempen melalui siaran mereka. Misalnya setiap calon diberi rancangan selama 10 minit setiap hari sepanjang kempen.
Rancangan-rancangan ini harus dibuat secara rakaman mengelak serangan dan fitnah yang melanggar peraturan pilihan raya dan undang-undang negara.

Calon juga boleh menggunakan media sosial dan rangkaian komunikasi telefon pintar sebagai saluran kempen baharu. Mereka boleh memasang kain rentang dan poster yang memaparkan diri mereka dan juga saluran komunikasi semasa sepanjang tempoh kempen ini.

PRK ini adalah medan mencuba norma baharu dalam proses demokrasi negara sepanjang pandemik Covid-19 ini.

Sistem demokrasi negara kita tidak boleh terhenti kerana Covid-19, namun ia memerlukan penyesuaian untuk meneruskan kelangsungan proses demokrasi negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat