KUALA LUMPUR – Penyertaan 100,000 ahli baharu Umno sekali pun didakwa belum memadai untuk mengembalikan kegemilangan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Tokoh Wartawan Negara Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, hal ini adalah kerana, bermula Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Umno dan (BN) telah hilang sokongan yang teruk dan berterusan. Berjuta-juta pengundi meninggalkannya.
“Saya tidak hairan apabila Setiausaha Agung Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, nampak begitu gembira apabila, menurut perkiraan beliau, ramai memohon untuk menyertai parti itu.
“Jadi, tidaklah menghairankan kalau Asyraf Wajdi kegembiraan mendapati 3,716 ahli baharu direkodkan dalam masa tidak sampai 24 jam.
“Tetapi, 3,716 ahli baru, malah 100,000 sekali pun, belum memadai untuk mengembalikan kegemilangan Umno dan BN.
“Sebaliknya, Asyraf Wajdi perlu bimbang mengenai hala tuju Umno-BN yang terus berkecamuk seperti dipamerkan oleh tindak-tanduk Adunnya di Negeri Sembilan sekarang. Umpama kapal yang nakhodanya mabuk candu,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Menurut A Kadir, bilangan permohonan keahlian yang diuar-uarkan oleh Asyraf Wajdi itu adalah berikutan keputusan Majlis Tertinggi Umno 17 April lalu untuk menerima balik 6,252 ahli yang dipecat dan digantung, termasuk Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Khairy Jamaluddin.
“Kebetulan, empat hari sebelum keputusan MKT Umno itu, saya dan dua orang bekas pengarang tahun 1980-an telah bersarapan dengan seorang Ahli MKT Umno berpangkat Menteri.
“Tema perbualan adalah siapa yang sesuai untuk mempelopori pemulihan Umno? Boleh jadi kefahaman saya silap. Tetapi daripada nada hujah beliau, nampak yang beliau melihat melepasi kepemimpinan tertinggi sekarang.
“Daripada tiga orang kami, seorang nampaknya tidak menolak Datuk Seri Ahmad Zahid terus menerajui Umno. Ini adalah kerana beliau akrab dengan Presiden Umno itu dan sangat setia kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya dari awal lagi berpendirian, Umno tidak dapat dipulihkan jika terus dipimpin oleh Presiden dan Timbalan yang ada sekarang.
“Saya sebutkan dua nama yang layak diberi perhatian untuk kepemimpinan masa depan. Pertama, Johari Abdul Ghani, dan kedua, Khairy Jamaluddin. Waktu itu Khairy masih orang buangan Umno.
“Johari sudah ada kedudukan yang baik dalam Umno dan kerajaan. Dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno 2023-26, beliau menang tempat ketiga Naib Presiden. Dalam Kabinet beliau sudah terajui dua kementerian – Perladangan dan Pelaburan.
“Beliau daripada latar belakang bandar dari kalangan rakyat biasa. Budak Kampung Pandan. Beliau mempunyai rekod kerja sektor swasta yang luas dan berjaya.
“Khairy dari latar belakang elit. Lahir di Kuwait City ketika bapanya bertugas sebagai diplomat dan membesar di luar negara.
“Kontroversial ketika pentadbiran Almarhum Abdullah Ahmad Badawi. Bermula sebagai Pegawai Khas berakhir dengan menjadi menantu beliau. Beliau adalah antara “Budak-budak Tingkat Empat” paling berpengaruh.
“Beliau berjaya membentuk semula (reinvent) politik beliau selepas persaraan Almarhum Abdullah dan dilihat sebagai berkesan ketika memimpin Kementerian Kesihatan semasa Pandemik Covid-19 di bawah pentadbiran Muhyiddin Mohd Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
“Kebimbangan (reservation) saya hanyalah, kedua-dua mereka adalah Melayu bandar yang mungkin kurang mesra dengan luar bandar – terlalu elitis. Namun mereka boleh belajar daripada ramai penggiat muda yang berlatar belakang luar bandar dalam Umno,” ujarnya.
Kesimpulannya kata A Kadir, tempoh antara sekarang dengan PRU ke-16, yang kita tidak tahu bila, adalah tempoh rawatan zon kuning bagi Umno dan BN.



