84 Pesakit Pulih, 57 Jangkitan Baru Covid-19 dan 2 Kematian Hari Ini – KKM

- Advertisement -

PUTRAJAYA — Kes baharu positif Covid-19 kekal pada dua angka dengan 57 kes dicatatkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara setakat ini sebanyak 6,002 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu hari ini sebanyak 25 adalah kes import manakala selebihnya adalah kes penularan tempatan.

Menurutnya hari ini juga terdapat 84 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,171 kes atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, manakala 36 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 14 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,729 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa hari ini terdapat dua kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 102 kes atau 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya kes kematian ke-101 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah darah serta mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster Pesakit Dalam Siasatan (PUI) Bali.

“Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 12 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 29 April 2020 jam 4.14 petang,” katanya.

Kes kematian ke-102, menurut Dr Noor Hisham, merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 16 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 April 2020 jam 12.55 tengah hari. Kementerian mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya. — Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat