KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya untuk amalan mengimbas kod MySejahtera setiap kali memasuki premis dihentikan ketika negara sedang memasuki fasa peralihan ke endemik,” cadang Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, fungsi pengesanan kontak rapat dalam aplikasi MySejahtera kini tidak lagi berkesan seperti pada fasa awal pandemik COVID-19 di negara ini.
Hal ini katanya berikutan kes jangkitan yang tinggi dalam komuniti direkodkan ketika ini.
Dr Kar Chai menjelaskan penggunaan aplikasi MySejahtera membolehkan pengesanan kontak rapat ketika pandemik berada pada kemuncaknya, namun ia kini ia mungkin sudah melepasi kemampuannya sebagai aplikasi pengesanan kontak rapat.
“Dengan bilangan kes positif dalam kalangan kita yang tinggi, pengesanan kontak tidak lagi boleh digunakan pada skala luas kerana ia tidak akan memberikan hasil yang diharapkan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Bagaimanapun Dr Kar Chai berkata, aplikasi itu masih boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih berkesan memandangkan ia kini diguna pakai oleh sebahagian besar populasi negara, manakala fungsi pengesanan kontak dalam aplikasi itu harus dikekalkan sebagai persediaan berdepan dengan pandemik lain di masa depan.
Beliau berkata, aplikasi MySejahtera boleh diguna pakai sebagai rekod kesihatan peribadi kerana ia sudah sedia dihubungkan dengan identifikasi setiap individu serta tidak boleh dipindah alih.
Pun begitu, perkara yang menjadi kebimbangan, katanya, ialah keselamatan data berkenaan.
“Melihat kepada apa yang dikongsikan di media sosial berkenaan pemilikan aplikasi ini, adalah diharapkan supaya kerajaan terus bersikap proaktif dalam menjana kepercayaan rakyat terhadap aplikasi ini.
“Ia dengan harapan supaya akhirnya aplikasi itu akan digunakan dalam pengurusan rekod kesihatan ke arah sistem penjagaan kesihatan yang berkesan untuk negara,” katanya.
Beliau berkata lagi, ketika ini, struktur kesihatan negara kekurangan sistem pengurusan rekod kesihatan populasi secara berpusat.
Dr Kar Chai berkata, ada keperluan untuk sistem rekod kesihatan elektronik yang terjamin keselamatannya serta mudah diakses oleh pengamal perubatan.
Katanya, ia bagi membolehkan penjagaan kesihatan penduduk yang lebih lancar berbanding ketika ini apabila rekod kesihatan masih belum boleh diakses oleh pelbagai fasiliti dan pengamal perubatan.
“Aplikasi MySejahtera boleh digunakan sebagai usaha awal untuk mempunyai rekod kesihatan yang boleh dibawa oleh setiap individu bagi membolehkan pengamal perubatan mendapat akses terhadapnya apabila ia diperlukan,” katanya.