Pimpinan PAS Pusat adakan mesyuarat di Marang, bincang putus hubungan dengan Bersatu?

KUALA LUMPUR, — Pimpinan tertinggi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat dijangka akan mengadakan mesyuarat Lajnah Politik PAS malam ini di Marang, Terengganu, bagi membincangkan perkembangan semasa politik termasuk kedudukan dan hala tuju hubungan parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam kerangka Perikatan Nasional.

Menurut sumber parti, mesyuarat berkenaan melibatkan kepimpinan utama PAS termasuk Presiden Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Bendahari Agung Datuk Iskandar Abdul Samad,, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, barisan Naib Presiden serta pimpinan sayap parti.

Turut difahamkan hadir ialah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS, bagi membincangkan aspek strategi politik dan implikasi pilihan raya susulan perkembangan mutakhir hubungan PAS dengan Bersatu.

Sumber sama memaklumkan bahawa antara agenda utama mesyuarat ialah penilaian menyeluruh terhadap kerjasama PAS–Bersatu di peringkat negeri, dengan kemungkinan untuk memutuskan atau menyusun semula hubungan politik di Terengganu, Kelantan dan Kedah, negeri-negeri yang selama ini menjadi kubu kuat PAS.

Ketegangan hubungan kedua-dua parti itu dikaitkan secara langsung dengan krisis politik di Perlis, khususnya susulan kejatuhan kerajaan negeri sebelum ini yang menyaksikan peletakan jawatan Menteri Besar Perlis daripada PAS, Mohd Shukri Ramli.

Menurut sumber parti, PAS melihat tindakan Bersatu dalam krisis berkenaan sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan dan persefahaman politik dalam Perikatan Nasional, apabila didakwa terlibat dalam usaha menjatuhkan Shukri, meskipun kedua-dua parti berada dalam gabungan yang sama.

Walaupun terdapat khabar bahawa pertukaran kepimpinan negeri Perlis dibuat atas permintaan Istana Perlis, sumber itu menjelaskan bahawa persepsi pengkhianatan tersebut tetap wujud dalam kalangan pimpinan PAS, kerana Bersatu dilihat tidak mempertahankan kedudukan PAS dalam krisis berkenaan serta gagal bertindak selari dengan semangat setiakawan politik.

Situasi itu, menurut sumber berkenaan, telah menjejaskan kepercayaan antara kedua-dua parti dan menjadi faktor utama mengapa kepimpinan PAS kini mempertimbangkan langkah tegas bagi menentukan semula hubungan dengan Bersatu, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai sepenuhnya oleh PAS dari segi kerusi dan sokongan akar umbi.

Bagaimanapun, sumber parti menegaskan bahawa sebarang keputusan muktamad masih tertakluk kepada perbincangan dan konsensus dalam kalangan pimpinan PAS serta pertimbangan Majlis Syura Ulama, dan sebarang pengumuman rasmi hanya akan dibuat melalui saluran parti.

Setakat ini, PAS Pusat mahupun Bersatu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung mesyuarat malam ini atau spekulasi mengenai kemungkinan penamatan kerjasama politik antara kedua-dua parti di peringkat negeri. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat