SUNGAI PETANI – Co-opbank Pertama (CBP) menyasarkan tambahan sebanyak 2,000 akaun Simpanan-i Salam MyStar dibuka pada tahun 2021-2022.

Pengerusinya, Datuk Baharom Embi berkata, menerusi pembukaan akaun tersebut, pendeposit Akaun Simpanan-i Salam Mystar yang berusia 18 tahun ke bawah secara automatik akan menjadi Ahli Kelab MyStar.

“Kelebihan yang akan diperolehi oleh Ahli Kelab MyStar ini adalah, ahli dapat menerima potongan harga daripada rakan kerjasama strategik CBP. Pada ketika ini, CBP telah bekerjasama dengan Penang Bird Park dimana ahli diberi kemasukan percuma dan juga Kedai Salim Wahab yang memberi potongan harga sehingga 15%.

“CBP juga kini merancang untuk menambah lagi beberapa rakan kerjasama strategik ini dalam memberi keistimewaan dan manfaat kepada ahli kelab MyStar ini, Pembukaan akaun Mystar serendah RM20 ini juga mampu memupuk semangat menabung pada usia muda,” katanya ketika ditemui di program Touch-Point CB-Prihatin hari ini.

Jelasnya melalui program Touch-Point ini juga, Anggota Lembaga (ALK) CBP turun padang dalam menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan kotak makanan asas kepada keluarga B40.

Selain itu katanya, objektif program Touch Point ini adalah menyediakan bekalan makanan asas dan juga sedikit sumbangan wang tunai kepada golongan asnaf, fakir, miskin dan B40 yang menetap dalam lingkungan berhampiran dengan cawangan CBP.

“Selain memfokuskan kepada keluarga daripada golongan yang saya nyatakan tadi, pada hari ini juga, CBP turut mengadakan program Back To School di mana kita membuka akaun simpanan- Salam kepada 50 orang pelajar dengan jumlah RM200 seorang.

Bagi menjayakan program ini, CBP telah memperuntukkan RM300,000 bagi menjayakan program Back To School ini,” katanya.