Shamsul Iskandar, Albert Tei direman 6 hari manakala Sofia Rini direman 4 hari

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei masing-masing direman 6 hari untuk membantu siasatan dakwaan rasuah.

Bernama melaporkan perintah reman dua lelaki itu sehingga 4 Dis ini dibenarkan Majistret Fatin Muneerah Sofian susulan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Perkara itu disahkan peguam Yusmadi Yusoff dan Mahajoth Singh, yang masing-masing mewakili Shamsul serta Tei.

SPRM menahan dua lelaki itu semalam dan Sofia Rini Buyong pada malam Khamis bagi membantu siasatan kes dakwaan pemberian rasuah oleh Tei kepada Shamsul bagi mendapatkan semula wang yang diberikan kepada Adun Sabah.

Shamsul dan Sofia ditahan di ibu pejabat SPRM selepas memberikan keterangan, manakala Albert Tei ditahan di rumahnya di Puchong.

Sofia direman 4 hari bermula semalam hingga Isnin depan.

Albert Tei sebelum ini mendakwa Sofia adalah proksi Shamsul, namun dinafikan wanita itu.

Shamsul, yang juga ketua PKR Melaka, meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri Selasa lalu selepas mendakwa terdapat usaha menggunakan kontroversi untuk menjatuhkan reputasinya dan imej kerajaan.

Tidak lama selepas peletakan jawatannya, Albert Tei dipetik Malaysiakini sebagai berkata, dia membelanjakan RM629,000 untuk kerja ubah suai, perabot dan peralatan untuk hartanah dikaitkan dengan Shamsul, serta barangan peribadi lain.

Albert Tei juga berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp menunjukkan Shamsul didakwa meminta mata wang asing daripada ahli perniagaan itu sebelum ke luar negara.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat