KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah bersetuju untuk menurunkan harga jualan Beras Putih Import di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, persetujuan tersebut dicapai dalam pertemuan Kementerianya dengan BERNAS baru-baru ini.
“Penurunan harga ini adalah selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia serta pengukuhan nilai tukaran Ringgit Malaysia berbanding US Dollar.
“Kerajaan optimis inisiatif ini akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui peningkatan akses dan ketersediaan bekalan beras pada harga yang lebih rendah,” Kata Mohamad Sabu dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Mohamad lagi, KPKM akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang mengenai struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik untuk memastikan industri padi dan beras negara terus berkembang dan seterusnya dapat menjaga kebajikan pesawah serta meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) beras negara.-SUARATV