KUALA LUMPUR – Pemimpin PN tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan rasmi dengan Barisan Nasional (BN) untuk menggesa parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan membentuk kerajaan baharu.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin sebaliknya, memaklumkan, cadangan supaya BN membentuk gabungan kerajaan baharu itu hanya disuarakan oleh seorang Ahli Parlimen PN pada pertemuan tidak rasmi mereka.
“Saya hendak menjelaskan apabila perkara itu berlaku, saya tanya orang yang berjumpa dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Beliau beritahu, ia bukanlah perbincangan… ia sekadar berjumpa dalam Parlimen. Takkanlah takut sangat DAP cakap macam-macam dengan Umno.
“Jadi bila dia (Ahli Parlimen PN terbabit) cakap begitu, Presiden Umno (Zahid) tanya apa yang patut dia buat… jawapannya, keluarlah daripada Kerajaan Perpaduan.
“Kalau keluar, nak tubuh macam mana?… boleh bersama dengan kami,” kata Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu
pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Sayap Bersatu, di Shah Alam pada Jumaat.
Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, pada sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu lalu mengaku mengajak BN menyertai PN untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang menegaskan tiada mandat rasmi diberikan kepada Shahidan untuk berbincang hal sedemikian dengan Zahid, sebaliknya ia disuarakan atas dasar sesama kawan, lapor BH.
“Itu pun tidak ada mandat untuk beliau (Shahidan) bercakap dengan Presiden Umno (berhubung perkara berkenaan), cuma sebagai kawan. Tidak salah sebagai kawan bercakap, mencadangkan sesuatu yang perlu (dilakukan). Ia rasa lebih baik.
“Takkanlah sebab itu, Presiden Umno katakan ada mandat daripada pucuk pimpinan PN mengajak begitu… sebenarnya tidak ada, belum ada Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yasin) beritahu buat pelawaan secara rasmi dengan mana-mana pihak,” katanya.