Yasin dibebaskan tapi ditempatkan di Hospital Bahagia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan melepaskan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman atas tiga tuduhan kes dadah.

Bagaimanapun, Hakim Faiz Dziyauddin mengarahkan penyanyi berusia 48 tahun itu ditempatkan di bawah jagaan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, mengikut Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Yasin akan ditempatkan di hospital bahagia selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor di bawah Seksyen 348(2) KTJ.

“Setelah mahkamah meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati bahawa tertuduh ada melakukan perbuatan sebagaimana dalam ketiga-tiga pertuduhan.

“Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa tertuduh dilepas dan dibebaskan atas alasan semasa kejadian sebagaimana didakwa pada 24 Mac 2022, tertuduh berada dalam keadaan mentalnya yang tidak waras walaupun sedar akan perbuatannya.

“Namun, gejala mania (emosi tidak stabil) dialami masa itu menyebabkan kemerosotan kognitif pada tahap teruk sehingga tertuduh tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatannya adalah salah dan bertentangan undang-undang,” lapor BH.

Pada 23 Oktober lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas satu-satunya saksi mereka iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony selesai memberi keterangan.

Muhammad Yasin diarah membela diri pada 3 Oktober lalu atas tiga kes dadah selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.

Pada 15 September lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, memaklumkan menutup kes selepas selesai pemeriksaan semula terhadap pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika itu, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz.

Muhammad Amirul antara tujuh saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 28 Ogos lalu.

Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat