MAHB Tunggu Arahan KKM Bendung Omicron

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk pihak berkuasa berkaitan bagi tujuan membendung penularan varian baharu Omicron daripada merebak ke negara ini.

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pada masa ini pihaknya belum menerima sebarang arahan lanjut untuk membendung Omicron daripada KKM.

“Perkara itu (penularan Omicron) baharu kepada kita dan ia memberi kebimbangan kepada MAHB, berikutan itu kita bekerjasama dengan kementerian dan pihak berkuasa berkaitan.

“Buat masa ini kita menerima 25 penerbangan antarabangsa dan memantau pengumuman mengenai isu Omicron ini dengan teliti serta menunggu arahan lanjut daripada kementerian berhubung isu berkenaan. Kita turut bekerjasama rapat dengan rakan sejawat di Singapura.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan kementerian terbabit untuk membendung penularan varian itu masuk ke Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan hari pertama pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara Malaysia-Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Isnin.

Memetik BH, Zambry mengulas kebimbangan terbaru mengenai penularan varian Omicron sama ada memberi kesan kepada pelaksanaan VTL udara Malaysia-Singapura, yang bermula hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pelancongan, Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan pihaknya mengenakan sekatan perjalanan dari negara ini ke tujuh negara di benua Afrika bermula Sabtu lalu.

Tujuh negara berkenaan ialah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Sekatan itu dibuat susulan penularan varian baharu COVID-19 iaitu B.1.1.529 atau dikenali sebagai Omicron.

Sementara itu, mengenai majlis berkenaan, Zambry turut menyambut ketibaan penerbangan pertama Singapore Airlines yang membawa 240 pengembara VTL udara Malaysia-Singapura itu tiba di KLIA pada jam 9.20 pagi tadi.

Ketibaan pesawat SQ108 itu disambut dengan semburan air sebagai gimik selamat datang dan pelaksanaan hari pertama VTL udara antara KLIA dengan Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Kredit foto: CGTN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat