KUALA LUMPUR- Malaysia menyatakan hasrat kepada Singapura untuk meneruskan projek kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur- Singapura yang sebelum ini dibatalkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura diteruskan, kata rakan sejawatnya daripada Singapura Lee Hsien Loong.

Perdana menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin membatalkan projek itu dan membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura.

Memetik Bernama, Hsien Loong berkata cadangan meneruskan projek itu dibangkitkan kepadanya dalam pertemuan dengan Ismail Sabri di Singapura pada Isnin.

Hsien Loong berkata, walaupun kedua-dua negara bersetuju membatalkannya sebelum ini, Singapura terbuka dengan cadangan baru Malaysia dan menteri pengangkutan masing-masing akan membincangkannya.

“Singapura menanti maklumat lanjut daripada Malaysia supaya kita dapat kaji dan pertimbang semula – bermula daripada awal,” kata beliau.