Sebuah malam penuh nostalgia bakal menghangatkan pentas Arena of Stars, Resorts World Genting pada 9 November 2025 apabila kumpulan pop rock terkenal dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) kembali ke Malaysia untuk menghiburkan peminat setia mereka. Konsert yang dinamakan Michael Learns To Rock Encore All The Hits in Malaysia ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan bulan hadapan, bermula pada jam 6 petang. Ia bukan sekadar persembahan muzik, tetapi satu perayaan penuh makna terhadap lebih tiga dekad perjalanan seni dan hubungan istimewa antara MLTR dan peminat Malaysia.
Dalam satu sesi temu bual eksklusif di zoom bersama media tempatan termasuk suara.tv, anggota MLTR Jascha Richter (vokalis dan pemain keyboard), Mikkel Lentz (gitaris) dan Kåre Wanscher (pemain dram) berkongsi rasa teruja mereka untuk kembali ke Malaysia. Menurut Jascha, setiap kali mereka datang ke negara ini, kenangan manis bersama peminat sentiasa menjadi tarikan utama. Beliau berkata bahawa apa yang paling mereka nantikan adalah melihat wajah-wajah gembira peminat Malaysia yang setia menyanyikan lagu-lagu mereka dari awal hingga akhir.
Mikkel turut menambah bahawa Malaysia mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam sejarah MLTR kerana ia merupakan negara pertama di Asia yang mereka lawati untuk mengadakan konsert. Pengalaman pertama itu menjadi detik bersejarah yang membuka lembaran baru dalam karier antarabangsa mereka. Katanya, “Malaysia adalah negara pertama kami di Asia, dan sambutan luar biasa peminat di sini tidak pernah kami lupakan.”
Mengulas mengenai persiapan menjelang konsert, Kåre menjelaskan bahawa MLTR sentiasa memastikan mereka bersedia sepenuhnya sebelum naik ke pentas. Walaupun tiada rutin khusus sebelum persembahan, mereka biasanya mengambil masa untuk menenangkan diri dan menumpukan fokus bagi memastikan setiap persembahan berjalan lancar. Baginya, setiap konsert membawa pengalaman yang berbeza kerana tenaga dan sambutan penonton memainkan peranan besar dalam mencipta suasana yang istimewa.
Apabila ditanya mengenai inspirasi muzik mereka, Jascha menyebut bahawa setiap ahli kumpulan mempunyai citarasa muzik yang berbeza, namun mereka banyak dipengaruhi oleh muzik 70-an dan 80-an. Beliau mengakui bahawa artis seperti David Bowie dan Talking Heads antara yang membentuk gaya muziknya, manakala Mikkel pula menamakan Bruno Mars sebagai contoh penyanyi dan penghibur moden yang hebat. Gabungan pelbagai pengaruh inilah yang menjadikan bunyi MLTR unik dan kekal relevan sehingga kini.
Salah satu detik penting dalam karier MLTR ialah apabila mereka berkolaborasi dengan penyanyi terkenal Hong Kong, Jacky Cheung, menerusi lagu Take Me To Your Heart. Lagu tersebut merupakan adaptasi daripada versi asal Mandarin bertajuk 吻别 (Wen Bie), dan menurut Jascha, pengalaman itu amat berharga kerana ia pertama kali mereka merakamkan lagu yang bukan hasil tulisan sendiri. “Kami tidak faham lirik asalnya, tetapi kami tertarik dengan melodi dan semangat dalam lagu itu,” jelasnya. Menariknya, lagu itu akhirnya menjadi salah satu karya paling popular MLTR hingga kini dan membuka peluang besar buat mereka di pasaran muzik China.
Mengimbau kenangan di Malaysia, ketiga-tiga anggota MLTR bersetuju bahawa rakyat Malaysia amat mesra dan penuh sopan santun. Mereka juga kagum dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang hidup bersama secara aman. Jascha berkata, “Kami sangat menghargai semangat perpaduan rakyat Malaysia. Ia sesuatu yang indah untuk disaksikan.”
Walaupun sudah lebih tiga dekad dalam industri muzik, MLTR tidak pernah berhenti berkarya. Mereka mengakui bahawa walaupun tiada perancangan konkrit untuk album baharu dalam masa terdekat, beberapa lagu baharu telah siap dirakam dan mungkin akan dikeluarkan apabila tiba masa yang sesuai. Dalam era digital kini, mereka turut menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan media sosial, yang dianggap sebagai perubahan terbesar dalam industri muzik sejak mereka bermula pada era kaset dan cakera padat.
“Dulu kami perlu melawat berpuluh stesen radio dan TV untuk mempromosikan album, tetapi sekarang cukup dengan satu video di TikTok. Dunia muzik telah berubah, dan kami belajar untuk menyesuaikan diri,” ujar Mikkel sambil tersenyum.
Bercakap tentang keistimewaan muzik mereka yang masih digemari generasi muda, Jascha menegaskan bahawa rahsia utama MLTR ialah kejujuran dalam menyampaikan emosi. Lagu-lagu mereka tidak pernah bergantung kepada tren semasa, sebaliknya berpegang pada melodi dan lirik yang menyentuh hati pendengar. “Jika sebuah lagu mampu membuat seseorang tersentuh, ia akan terus hidup merentasi generasi,” katanya.
Pembelian tiket boleh dibuat di rwgenting.com. Harga tiket bermula daripada RM188 hingga RM988, dengan pelbagai pilihan mengikut keselesaan penonton.

Menariknya, pembeli tiket kategori Zon MLTR dan VIP berpeluang menikmati faedah eksklusif termasuk peluang bergambar bersama anggota kumpulan bagi beberapa pemenang bertuah yang akan dipilih khas. Ini pastinya menambah nilai pengalaman peminat untuk berinteraksi lebih dekat dengan idola mereka.
Konsert kali ini dijangka menjadi malam penuh emosi, di mana lagu-lagu seperti 25 Minutes, Paint My Love, Sleeping Child, That’s Why (You Go Away) dan Take Me To Your Heart akan kembali menggamit memori lama. Setiap bait lagu MLTR telah menemani generasi demi generasi menjadi latar kepada kisah cinta, kenangan sekolah, serta momen-momen yang membentuk perjalanan hidup ramai pendengar.
Michael Learns To Rock bukan sekadar kumpulan muzik, tetapi simbol kepada muzik pop romantik yang jujur, abadi dan universal. Lebih tiga dekad selepas penubuhan mereka pada tahun 1988, MLTR kekal relevan dengan lebih 11 juta album terjual, 1.5 bilion penstriman, dan hampir 1,000 konsert di seluruh dunia.
Menutup temu bual, Jascha mewakili rakan-rakannya menitipkan pesan istimewa buat peminat Malaysia: “Terima kasih kerana terus menyokong kami selama ini. Kami masih di sini kerana anda. Jumpa anda semua di konsert nanti satu malam, satu kenangan, bersama Michael Learns To Rock.”



