Sejak era Dr Mahathir Malaysia antara terawal iktiraf perjuangan Timor-Leste – Anwar

KUALA LUMPUR – Malaysia merupakan antara yang terawal mengiktiraf pengorbanan darah dan keringat rakyat Timor-Leste yang mendambakan kebebasan dan cita serta nurani idealisme yang murni, seawal era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akui pernah menyatakannya di Parlimen bahawa Timor-Leste adalah sebahagian daripada keluarga rantau yang kita cintai ini.

Justeru katanya, bagi Malaysia, pendirian kita tersedia jelas; yakni mendukung dan mempercepat proses penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN.

“Usai acara menamatkan sidang kemuncak semalam, saya telah berkesempatan hadir ke majlis makan malam yang dihoskan Presiden Republik Demokratik Timor-Leste José Manuel Ramos-Horta.

“Saya menzahirkan penghargaan atas semangat persahabatan kedua-dua negara yang ditonjolkan. Negara ini meniti sejarah panjang perjuangan yang sarat dengan peristiwa derita dan menyayatkan, selain kezaliman dan kebobrokan yang dihamburkan imperalis ke atas warganya.

“Saya bicara bahawa Malaysia sendiri dahulunya bukan negara yang kaya, tidak kurang Laos serta Kemboja sewaktu diterima ke dalam ASEAN.

“Kita juga pernah bergelut ganas membina asas dan ketahanan ekonomi negara. Maka, adalah tidak wajar untuk mengukur nilai keanggotaan hanya pada aspek kekuatan ekonomi semata,” ujar Anwar.

Namun katanya, apa yang penting adalah tekad dan iltizam, wawasan serta semangat kenegaraan bangsa tersebut.

“Walhasil, kita telah mengarahkan Wisma Putra agar mengupayakan kerjasama teknikal dan penempatan pegawai di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia untuk membantu melengkapkan keperluan institusi Timor-Leste untuk maksud ini.

“Di dunia hari ini, suara nurani semakin malap dan pudar. Namun, Timor-Leste menyemangati suara itu. Bahawa ia suara yang lahir dari sejarah yang luka dan membekas, ketabahan dan kesungguhan rakyatnya memperjuang kebebasan dan keadilan.

“Saya pernah membicarakannya bersama mendiang Kofi Annan, dan saya melihat semangat yang sama pada Presiden Ramos-Horta.

“Sementalahan, Malaysia punyai keyakinan yang tinggi betapa kehadiran Timor-Leste ke dalam ASEAN tidak sekadar melengkapi jumlah anggota, tetapi yang utama adalah memperkaya jiwa, nurani dan nilai rantau bertuah ini,” kata Perdana Menteri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat