Renesas luaskan operasi semikonduktor di Selangor, pelaburan solar sokong peralihan tenaga bersih

Pengembangan kapasiti pembuatan dalam tempoh dua tahun akan datang dijangka membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi, manakala kerajaan negeri menggalakkan lebih banyak industri mengguna pakai tenaga boleh baharu.

Renesas Semiconductor KL Sdn Bhd (RSKL) merancang memperluas keupayaan pembuatan semikonduktornya di Teluk Panglima Garang dalam tempoh dua tahun akan datang bagi menyokong pertumbuhan teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memperluas pembangunan bakat tempatan.

Perancangan itu hadir ketika syarikat berkenaan meneruskan pelaburan dalam teknologi pembuatan dan penggunaan tenaga boleh baharu menerusi pelancaran projek tempat letak kereta berbumbung panel solar yang melibatkan 325 ruang parkir di kemudahannya di Selangor.

Projek itu dijangka menjana tambahan 2.4 megawatt-jam (MWh) tenaga bersih sehari, melengkapi sistem solar bumbung sedia ada yang menghasilkan purata 10.5 MWh tenaga bersih setiap hari.

Ketua Global Pembuatan Dalaman Renesas Electronics, Ooi Heng Ee, berkata gabungan kedua-dua pemasangan solar itu dijangka membolehkan RSKL mengurangkan pelepasan karbon kira-kira 3,610.4 tan setahun, bersamaan dengan manfaat penyerapan karbon daripada kira-kira 172,000 batang pokok matang.

Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha syarikat mengurangkan kesan operasi terhadap alam sekitar, di samping memanfaatkan ruang sedia ada untuk menjana tenaga bersih bagi menyokong keperluan kemudahan pembuatan.

Majlis pelancaran projek itu turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau, Jamaliah Jamaluddin, yang mengalu-alukan langkah berkenaan sebagai contoh penglibatan sektor industri dalam agenda peralihan tenaga negeri.

Menurut Jamaliah, Kerajaan Negeri Selangor komited memastikan pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan penjagaan alam sekitar, termasuk dengan menggalakkan lebih banyak syarikat swasta dan pemain industri mempertimbangkan penggunaan tenaga boleh baharu.

Beliau berkata kerajaan negeri sendiri sedang memperluas penggunaan panel solar di bangunan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain menggalakkan amalan bangunan hijau sebagai sebahagian daripada usaha menghadapi perubahan iklim.

“Kerajaan negeri mahu memastikan wujud keseimbangan antara aktiviti ekonomi dengan penjagaan alam sekitar. Kita juga mahu menggalakkan syarikat swasta dan pihak industri memainkan peranan melalui penggunaan tenaga boleh baharu seperti panel solar,” katanya.

Jamaliah berkata kerajaan negeri sedang memastikan pemasangan panel solar di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan PBT dimanfaatkan sepenuhnya, selain menggalakkan pejabat tanah dan daerah mengambil bahagian dalam usaha berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa kira-kira 70 bangunan kerajaan negeri dan PBT telah terlibat dalam inisiatif pemasangan panel solar, dengan beberapa lokasi masih berdepan isu teknikal. Kerajaan negeri juga sedang menggalakkan penggunaan ciri bangunan hijau dalam pembangunan dan pengurusan premis kerajaan.

Dalam usaha menggalakkan penyertaan masyarakat, Jamaliah berkata kerajaan negeri turut memperluas insentif rebat cukai taksiran kepada penduduk Selangor yang melaksanakan inisiatif hijau, termasuk pemasangan panel solar dan sistem penuaian air hujan, melalui PBT masing-masing.

Langkah itu bertujuan menggalakkan lebih ramai penduduk mengambil bahagian dalam usaha mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, selain melengkapi inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.

Bagi sektor industri pula, penggunaan tenaga boleh baharu dilihat sebagai salah satu langkah yang boleh dipertimbangkan syarikat untuk mengurus penggunaan tenaga, memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta menyokong keperluan operasi jangka panjang.

Selain pelaburan solar, RSKL turut merancang meningkatkan keupayaan pembuatannya bagi memenuhi permintaan industri semikonduktor yang berkaitan dengan AI.

Ditubuhkan pada 1974, RSKL merupakan antara tapak pembuatan strategik Renesas dalam rangkaian globalnya, dengan operasi yang menyokong penghasilan semikonduktor untuk aplikasi automotif, perindustrian dan infrastruktur di seluruh dunia.

Pengembangan yang dirancang dalam tempoh dua tahun akan datang dijangka mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, di samping memperluas pembangunan kemahiran tempatan dalam bidang semikonduktor dan teknologi termaju.

Seiring dengan perkembangan itu, syarikat berkenaan sedang mempercepat transformasi ke arah Kilang Pintar atau Smart Factory melalui penggunaan automasi, pendigitalan, AI dan analitik termaju bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti pengeluaran.

Aspirasi jangka panjang RSKL termasuk mencapai Light-Off Production, iaitu persekitaran pembuatan yang sangat automatik dan berupaya beroperasi dengan campur tangan manusia yang minimum, sambil mengekalkan piawaian kecekapan dan kualiti bertaraf dunia.

Dalam konteks tersebut, pelaburan tenaga solar menjadi sebahagian daripada pendekatan syarikat untuk menyelaraskan perkembangan operasi dengan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih. Usaha ini turut meneruskan peluasan penggunaan tenaga solar Renesas di Malaysia, susulan projek pemasangan solar di kemudahannya di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Projek di Teluk Panglima Garang itu direalisasikan melalui kerjasama RSKL dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Hasilwan (M) Sdn Bhd, para pekerja dan rakan kongsi strategik.

Gabungan pelaburan dalam pembuatan semikonduktor, automasi dan tenaga solar mencerminkan hala tuju RSKL dalam menghadapi perubahan industri serta permintaan teknologi baharu. Pada masa sama, inisiatif itu seiring dengan usaha Selangor menggalakkan sektor perindustrian dan masyarakat menggunakan tenaga secara lebih bertanggungjawab, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri turut mengambil kira keperluan alam sekitar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat