83 hari rehabilitasi, pesakit strok Hospital Columbia kembali berjalan dengan bantuan alat

SHAH ALAM – Daripada tidak mampu berdiri dan bergantung kepada orang lain untuk menguruskan diri, seorang pesakit strok, Abdul Wahid, 58, kembali berjalan dengan bantuan alat selepas menjalani rehabilitasi selama 83 hari di Columbia Asia Extended Care Hospital Shah Alam (CAECHSA).

Bagi bekas pemandu lori itu, keupayaan berjalan semula dan menggunakan tangga dengan bantuan alat berjalan menjadi pencapaian bermakna dalam usahanya mendapatkan kembali kemandirian selepas diserang strok.

Sebelum mengalami strok, Abdul Wahid menjalani kehidupan aktif dan berdikari. Namun, kelemahan pada bahagian kiri badan selepas serangan itu menyebabkan beliau tidak lagi mampu berdiri atau berjalan, selain menghadapi masalah pertuturan dan menelan.

Beliau turut memerlukan bantuan untuk melakukan aktiviti asas, termasuk makan, ke tandas dan menguruskan penjagaan diri.

“Cabaran paling besar ialah apabila saya tidak lagi mampu melakukan perkara sendiri dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Malah untuk ke tandas pun saya memerlukan bantuan. Saya berasa sangat sedih kerana sebelum ini saya sentiasa aktif,” katanya.

Pengalaman Abdul Wahid dikongsikan dalam sesi meja bulat media anjuran CAECHSA bertemakan “Melangkaui Discaj: Memulihkan Kemandirian Melalui Penjagaan Berterusan”, menurut siaran akhbar hospital itu bertarikh 17 September.

Sepanjang menjalani rehabilitasi, beliau menerima sokongan pasukan pelbagai disiplin yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat, ahli fisioterapi, ahli terapi carakerja dan ahli terapi pertuturan.

Program berkenaan memberikan tumpuan kepada pemulihan pergerakan dan keseimbangan, keupayaan melakukan aktiviti harian, komunikasi serta kebolehan menelan.

Bagaimanapun, proses pemulihannya masih berterusan. Abdul Wahid masih mengalami kelemahan pada tangan kiri, manakala corak berjalannya belum pulih sepenuhnya. Susulan fisioterapi turut disarankan bagi menyokong pemulihan seterusnya.

Pengurus Perkhidmatan Rehabilitasi CAECHSA, Mohd Firdaus Zaina Salleh berkata, kejayaan rehabilitasi perlu dinilai berdasarkan keperluan dan matlamat setiap pesakit, termasuk keupayaan melakukan tugasan harian dengan bantuan yang semakin berkurangan.

“Peranan kami bukan sekadar membantu pesakit melakukan sesuatu senaman. Kami membantu mereka mencapai matlamat yang penting dalam kehidupan mereka, sama ada untuk berdiri dengan selamat, memakai pakaian sendiri atau kembali bekerja.

“Ada kalanya kemajuan itu kelihatan kecil pada pandangan orang lain, tetapi bagi pesakit, memerlukan bantuan yang kurang berbanding hari sebelumnya sudah menjadi satu langkah yang sangat bermakna,” katanya.

Menurut hospital itu, matlamat pemulihan ditetapkan bersama pesakit serta, jika bersesuaian, ahli keluarga atau penjaga sebelum disemak dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan mereka.

Penilaian turut mengambil kira keselamatan, kualiti pergerakan dan keyakinan pesakit, selain tahap bantuan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti harian.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Residen CAECHSA, Dr Nur Lidiya Nadiah Zulkifli berkata, keadaan perubatan yang stabil sahaja belum mencukupi untuk menentukan kesediaan seseorang pesakit meneruskan kehidupan selepas meninggalkan persekitaran penjagaan.

Pasukan perubatan turut menilai keupayaan kognitif, pergerakan dan fungsi harian, selain ketersediaan penjaga, keperluan peralatan serta kesesuaian persekitaran rumah.

“Pemulihan bukan sekadar memastikan seseorang itu cukup sihat untuk meninggalkan persekitaran penjagaan, tetapi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi apa yang seterusnya,” katanya.

Ketua Perkhidmatan Kejururawatan CAECHSA, Suriani Zainal pula berkata, latihan pemulihan turut diterapkan dalam rutin harian pesakit seperti bangun dari katil, berjalan, makan dan menguruskan diri.

Menurutnya, jururawat perlu memahami bila bantuan diperlukan dan bila pesakit boleh digalakkan mencuba sendiri, dengan mengambil kira keletihan, ketakutan serta tahap keyakinan mereka.

“Ia bukan mudah apabila seseorang itu keletihan, takut atau hilang keyakinan, tetapi melakukan segala-galanya untuk mereka juga boleh menghilangkan peluang untuk mereka berlatih.

“Kami berada bersama mereka sepanjang hari untuk memberikan sokongan, galakan dan membantu mereka menerapkan apa yang dipelajari semasa terapi dalam kehidupan seharian,” katanya.

Kerjasama antara pasukan perubatan, rehabilitasi dan kejururawatan itu membolehkan kemajuan pesakit dipantau secara berterusan, dengan sokongan disesuaikan mengikut keperluan serta matlamat pemulihan masing-masing.

Kumpulan Hospital Columbia Asia telah menerajui khidmat kesihatan swasta sejak ia ditubuhkan 30 tahun yang lalu. Sejak 1996, ia telah berkembang daripada hospital pertamanya di Shah Alam ke hospital terbaru di Pulau Pinang. Sebagai sebuah syarikat kesihatan antarabangsa, perkhidmatannya merangkumi 14 hospital di rantau ini; 13 di Malaysia dan satu di Vietnam. Sejak penubuhannya, strategi dan fokus syarikat adalah untuk menyediakan akses kepada perkhidmatan kesihatan swasta untuk pelbagai lapisan masyarakat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat