KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas yang juga pencetus ummah, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat menyarankan agar Malaysia ‘menerima’
keputusan kerajaan untuk menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.
Rahmat yang kini dalam pelayaran konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza mengemukakan beberapa hujah di sebalik penerimaan beliau terhadap kehadiran Presiden AS itu.
Tegas beliau, kedatangan Trump ke Malaysia memudahkan ‘tekanan’ lebih kencang boleh dirancang untuk menekan Presiden AS yang bersekongkol dengan kekejaman Zionis Israel itu.
“Saya berbeza pandangan berkaitan kehadiran Trump ke Malaysia. Dia lebih baik datang ke Malaysia.Trump bukannya orang gila yang tak tahu sifir atau pengiraan untung rugi. Kehadiran dia ke Malaysia sedikit sebanyak mengiktiraf kepentingan ASEAN dalam kek ekonomi dunia masa kini.
“Kita rugi jika tak menggunakan peluang ini untuk bincang balik berkaitan tarif dan polisi berkaitan semi konduktor.
“Juga, mengecam Trump berkaitan Palestin di rumah kita sendiri lebih gah dan berani. Walaupun Trump tak peduli pun kena kecam sebab sudah berpuluh Presiden dan wakil negara mengecam US di UN namun depa buat tak tau je. Cuma kali ini Malaysia berpeluang lebih gagah sedikit mengecam di rumah sendiri,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, “adakah menerima Trump di Malaysia tidak sensitif terhadap Gaza?
“Boleh jadi ya tetapi saya percaya di mata rakyat Gaza, Malaysia sudah cukup besar jiwa dengan menjadi Penaung Rasmi Sumud Flotilla. Satu-satunya negara Islam berani menjadi penaung rasmi dan digelar ‘Enemy State’ oleh Israel.
“Kita boleh teruskan demonstrasi dan menekan Trump dan menunjukkan betapa tak sukanya kita terhadap AS.
“Ibaratnya, memanggil keluarga si pembuli anak kita ke rumah untuk minum petang dan sebelum diberi teh, kita memulakan bicara “eh ini akan pahit saudara kerana tiada gula bagi orang yang menyakitkan anak saya,” katanya.



