WarnaRaya X KLCC Raya Runway 2027 satukan pereka dan jenama fesyen tempatan

Persiapan menyambut Aidilfitri semakin berubah seiring perkembangan industri fesyen dan gaya hidup, dengan pengguna kini mula membuat pilihan busana lebih awal sebelum tibanya Ramadan.

Melihat kepada perubahan trend tersebut, WarnaRaya X KLCC Raya Runway 2027 (WarnaRaya) bakal tampil sebagai sebuah platform fesyen dan jualan yang menggabungkan pengalaman membeli-belah dengan pertunjukan fesyen dalam satu acara berskala besar.

Majlis pra-pelancaran eksklusif WarnaRaya 2027 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini menjadi permulaan kepada penganjuran edisi kedua acara berkenaan yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari, dari 22 hingga 24 Januari 2027.

Berlangsung kira-kira dua minggu sebelum Ramadan, acara itu dilihat sebagai antara platform awal yang memberi peluang kepada pengguna mendapatkan inspirasi serta membuat persiapan fesyen Aidilfitri lebih awal.

Pengasas WarnaRaya, Shariza binti Mahzlan, berkata penganjuran edisi kali ini tidak lagi dilihat sekadar sebagai sebuah bazar fesyen, sebaliknya berkembang menjadi platform yang menghubungkan pereka, jenama, usahawan dan pengguna secara lebih menyeluruh.

Menurut beliau, konsep utama WarnaRaya adalah menggabungkan runway fesyen profesional dengan bazar berskala besar, sekali gus memberikan ruang kepada jenama dan usahawan kreatif bukan sahaja menjual produk, malah memperkenalkan identiti serta koleksi mereka kepada khalayak.

“Untuk edisi 2027, kami menyasarkan lebih 90 gerai jualan atau vendor dan lebih 50,000 pengunjung.

“Kami mahu menghimpunkan gabungan pereka fesyen terkenal tanah air, usahawan SME serta jenama selebriti serantau dalam sebuah platform yang mampu memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung,” katanya.

Lebih daripada sekadar ruang jualan, WarnaRaya turut menyediakan peluang kepada vendor yang menyertai acara tersebut untuk memperkenalkan koleksi terkini mereka menerusi pentas mini runway fashion show.

Pendekatan itu membolehkan usahawan kreatif mengetengahkan produk mereka secara lebih visual dan interaktif, di samping memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri bagaimana koleksi berkenaan digayakan.

Dalam masa sama, pentas utama di dewan utama KLCC akan menampilkan pertunjukan fesyen yang menghimpunkan barisan pereka fesyen tersohor tanah air yang turut dilantik sebagai duta WarnaRaya.

Antara yang bakal terlibat ialah FIZIWOO, Rizman Ruzaini, Datuk Radzuan Radziwill dan Abu Shaef Hamza, masing-masing dengan identiti rekaan dan pendekatan tersendiri terhadap fesyen Melayu serta busana Raya.

Bagi FIZIWOO, WarnaRaya dilihat sebagai platform sehenti yang berpotensi membantu pereka memperkenalkan koleksi Ready-to-Wear kepada pasaran dengan lebih berkesan.

FIZIWOO dijangka mempertaruhkan kira-kira empat koleksi khas merangkumi busana lelaki dan wanita. Penyediaan pentas runway profesional bersama ruang jualan dalam lokasi yang sama dilihat memberi nilai tambah kepada proses memperkenalkan koleksi kepada komuniti fesyen.

Sementara itu, Rizman Ruzaini memberi tumpuan kepada koleksi Ready-to-Wear premium yang dianggarkan dalam lingkungan RM400 hingga RM500, dengan penekanan terhadap kualiti serta identiti eksklusif jenama.

Perkembangan platform digital sebelum ini juga menunjukkan bagaimana pengguna semakin dekat dengan pereka tempatan melalui kandungan dan pemasaran dalam talian. WarnaRaya dilihat mampu melengkapkan hubungan tersebut dengan menyediakan ruang fizikal untuk pengguna melihat, merasai dan mendapatkan koleksi secara langsung.

Bagi Datuk Radzuan Radziwill pula, pendekatan ‘Contemporary Malay’ menjadi antara elemen utama yang dibawa menerusi rekaan beliau.

Dengan penggunaan corak cetakan eksklusif sebagai identiti, koleksi yang dipersembahkan akan memberi penekanan kepada aspek versatiliti supaya busana boleh digayakan bukan sahaja ketika Syawal, tetapi juga untuk majlis perkahwinan, acara rasmi dan pelbagai keraian lain.

Konsep tersebut mencerminkan perubahan keperluan pengguna yang kini semakin menitikberatkan nilai jangka panjang sesebuah pakaian, berbanding membeli busana yang hanya dipakai pada musim perayaan.

Abu Shaef Hamza pula mengetengahkan kekayaan tekstil Nusantara seperti songket dan batik dengan pendekatan lebih moden.

Gabungan elemen tradisional bersama palet warna kontemporari dilihat sebagai usaha untuk memastikan warisan tekstil serantau terus mendapat tempat dalam landskap fesyen semasa.

Menurut beliau, keunikan fabrik warisan Nusantara mempunyai nilai estetika dan budaya yang tinggi, selain berpotensi diterokai dalam bentuk rekaan yang lebih segar bagi menarik perhatian generasi muda.

WarnaRaya turut membawa aspirasi untuk memperluaskan jaringan industri kreatif merentasi sempadan dengan menyasarkan penyertaan pemain industri dari Singapura, Indonesia dan Brunei, selain penggiat fesyen tempatan.

Usaha tersebut berpotensi menjadikan acara berkenaan sebagai ruang pertemuan antara jenama tempatan dengan pasaran serantau, khususnya dalam memperkenalkan kepelbagaian identiti fesyen Melayu dan Nusantara.

Menariknya, pengalaman pengunjung juga menjadi sebahagian daripada strategi penganjuran. Mereka yang hadir ke kawasan bazar berpeluang memenangi tiket eksklusif untuk menyaksikan pertunjukan fesyen di pentas utama.

Dengan konsep tersebut, WarnaRaya bukan sahaja menawarkan peluang membeli-belah, tetapi turut membina pengalaman fesyen yang menggabungkan jualan, hiburan, persembahan dan interaksi antara pereka dengan pengguna.

Penganjuran selama tiga hari di KLCC dijangka menjadikan WarnaRaya antara platform utama bagi industri fesyen tempatan membuka kempen Raya lebih awal, di samping memperlihatkan bagaimana fesyen tradisional dan kontemporari boleh bergerak seiring dalam memenuhi cita rasa pengguna moden.

Edisi 2027 akhirnya bukan sekadar mengenai persiapan pakaian menjelang Syawal, tetapi turut membawa agenda lebih besar membina ekosistem fesyen yang menghubungkan pereka, usahawan, jenama, pengguna dan pasaran serantau dalam satu pentas.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat