KUALA LUMPUR- Pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan ahli politik dan suaminya yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pasangan suami isteri terbabit diambil keterangan pada Julai lalu, selepas artikel pertama berhubung kes berkenaan dilaporkan di Myanmar.
“Kita sudah menjalankan siasatan dan buat masa ini siasatan juga masih diteruskan.
“Kita juga akan mendapatkan artikel yang dikeluarkan oleh negara berkenaan.
“Kita juga akan mencari saksi yang terbabit dan pasangan suami isteri itu juga sudah diambil keterangan pada Julai lalu,” lapor BH di Kelantan pada Khamis.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas di antara Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dengan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby, di Kota Bharu, hari ini.