Hetty rai suara emas lima dekad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sukar mencari di mana kelemahan bintang legenda dari Indonesia, Hetty Koes Endang tatkala menjayakan Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang di Manhattan Ballroom, Hotel Berjaya Times Square di sini, malam kelmarin.

Segala-galanya cukup sempurna dan menepati makna sebenar penganjuran konsert, terutama untuk penyanyi bertaraf diva sepertinya.

Malam itu, Hetty membuktikan dirinya dan muzik mempunyai ikatan kimia yang cukup kuat sehingga membuatkan penonton terpukau dengan persembahan disajikan.

Diiringi sekumpulan ‘pahlawan’ muzik berbakat di bawah pimpinan, Datuk Ramli MS yang bertindak sebagai pengarah muzik, memberi nilai tambah terhadap konsert yang dianjurkan sempena lima dekad pembabitan penghibur tersohor itu dalam bidang seni.

Ketika muzik intro lagu pertamanya berjudul Rindu berkumandang, Hetty membuat gimik apabila muncul dari pintu utama membuatkan seluruh isi dewan bergema dengan tepukan dan sorakan penonton.

Hetty bukan sekadar melontarkan vokal emasnya, malah tampak seronok berpesta di pentas. Bercerita, berjenaka dan sesekali mengusik penonton yang merangkumi pelbagai latar usia.

 

Getar emosi yang terbit dalam lantunan suara Hetty membuai penonton sehingga mereka larut dalam perasaan yang dikongsi. Foto Ihsan Mahajaya Empire Sdn Bhd
Getar emosi yang terbit dalam lantunan suara Hetty membuai penonton sehingga mereka larut dalam perasaan yang dikongsi. Foto Ihsan Mahajaya Empire Sdn Bhd

 

Getar emosi yang terbit dalam lantunan suara Hetty membuai penonton sehingga mereka larut dalam perasaan yang dikongsi.

Tersentuh hati ketika mendengar rintihannya menyanyikan lagu bernada melankolik seperti Hati Lebur Jadi Debu, Kaulah Segalanya, Melodi Perpisahan, Benci Tapi Rindu, Tak Ingin Sendiri dan Kasih.

Mesra disapa Bunda, Hetty yang baru meraikan ulang tahun ke-65 pada 6 Ogos lalu, menjadi contoh terbaik buat mereka yang sering menganggap peningkatan usia adalah ancaman terhadap vokal penyanyi

Sebaliknya, berilah Hetty apa sahaja rentak lagu sama ada rancak, balada, pop keroncong atau dangdut, Hetty mampu membawakan semua genre itu dengan baik.

Malah, sesukar apa pun lenggok atau setinggi mana pun nadanya, alunannya tetap ‘licin’, sambil wajah mengukir senyum seperti tiada bebanan di bahu.

Ini dibuktikan menerusi untaian indah seperti Es Lilin, Kuda Hitam, Kaulah Segalanya dan Biar Bulan Berbicara.

 

Penampilan Hetty yang cukup anggun mengenakan busana yang sarat perincian mewah rona keemasan turut melengkapkan lagi kesempurnaan aksinya pada konsert, kelmarin. Foto Ihsan Mahajaya Empire Sdn Bhd
Penampilan Hetty yang cukup anggun mengenakan busana yang sarat perincian mewah rona keemasan turut melengkapkan lagi kesempurnaan aksinya pada konsert, kelmarin. Foto Ihsan Mahajaya Empire Sdn Bhd

 

Setiap lagu yang dinyanyikan, pasti ada cerita di sebaliknya. Ini termasuk lagu Kemuning yang diakui Hetty meninggalkan kenangan lucu dalam hatinya.

“Ketika lagu ini dirakamkan pada 1974, suami saya begitu menyukainya. Tetapi dia tidak tahu siapa penyanyinya.

“Siapa sangka, penyanyi lagu yang diminati akhirnya menjadi isterinya,” kata ibu kepada empat orang cahaya mata ini sambil disambut dengan gelak ketawa penonton.

Usai mendendangkan lagu Inginku Sandarkan Harapan, nyanyian asal Noraniza Idris, Hetty menerima kejutan apabila pencipta lagu itu, Datuk Seri Dr Ahmad Nawab tampil memberi ucapan menerusi rakaman video.

Lagu lain yang dinyanyikan Hetty adalah Cinta Sehebat Rindu, Dia, Dingin, Widuri serta lagu yang menjadi viral iaitu Tiara yang disampaikannya dengan gaya tersendiri.

Konsert anjuran Mahajaya Empire Sdn Bhd ini tidak akan menjadi sehebat yang dilihat tanpa sokongan sistem bunyi dan penataan cahaya berkualiti.

Penampilan Hetty yang cukup anggun mengenakan busana yang sarat perincian mewah rona keemasan turut melengkapkan lagi kesempurnaan aksinya.

Selepas dua jam beraksi, konsert ditutup dengan lagu Berdiri Bulu Romaku sekali gus menggamit penonton untuk mengerumuni penyanyi itu di hadapan pentas.

Diharapkan konsert ini bukan titik noktah daripadanya untuk peminat setia di Malaysia. Mungkin sudah tiba masa Hetty mengadakan konsert mega dengan lokasi lebih besar kerana kemampuan serta keampuhan jenama yang dibinanya itu, melayakkan dirinya untuk diberi penghargaan seperti itu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat