Kerajaan Perkenal Inisiatif Baharu Tingkatkan Sistem Bekalan Elektrik Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan empat program serta pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan antara lain meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebanyak 1,200 MW bagi sumber solar.

Menurutnya, kuota baharu ini akan diagihkan untuk pelaksanaan program di bawah mekanisme sedia ada termasuk New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan.

“Ia juga bagi penerokaan kaedah pelaksanaan program TBB baharu seperti pembangunan taman solar (solar park), pembekalan elektrik untuk tujuan pusat-pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau dan sebagainya.

“Penyediaan opsyen baharu perolehan bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Tenaga Maya atau Virtual Power Purchase Agreement (VPPA), mulai suku tahun keempat 2022, dengan tawaran kuota 600MW,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (atau ISES) Ke-5, hari ini.

Jelasnya dengan persetujuan ini, Kerajaan menjangkakan 14,000 peluang pekerjaan dan nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri TBB negara.

Selain itu, beliau berkata kerajaan melaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.

“Pengguna elektrik di kedua-dua buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang tahun 2025, sekali gus mengurangkan kira-kira 70 peratus pelepasan gas rumah kaca,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan juga membangunkan kerangka Renewable Energy Certificate (REC) Kebangsaan yang jelas dengan tadbir urus dan kawal selia yang baik dan teratur, agar REC yang dihasilkan di negara ini mempunyai kredibiliti, telus dan nilai yang tinggi.

“Ini akan meyakinkan syarikat korporat untuk melakukan offset terhadap jejak karbon dari sumber penjanaan bahan api fosil melalui instrumen REC,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin.

“Sehubungan itu, Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku tahun keempat 2022 bagi memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan teratur mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Syarikat MySuri Biz Technologies Sdn. Bhd. akan menyediakan 1,000 unit EV teksi, sebagai menyokong usaha penyahkarbon negara.

“Keterlibatan pihak GLC seperti TNB perlu dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri EV negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat