Harga Siling Ayam Kekal, Hanya Kilang Tertentu Boleh Eksport Mulai Oktober – Annuar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Harga siling RM9.40 sekilogram bagi ayam bulat segar tempatan, manakala subsidi 3 sen untuk telur turut kekal, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata Kabinet turut bersetuju kilang tertentu sahaja iaitu yang menternak ayam secara khusus untuk tujuan eksport, boleh mula mengeksport ayam selepas mendapat kebenaran daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Oktober ini.

Menurut Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, keputusan terbaharu Kabinet itu tidak mempunyai tarikh akhir kerana kerajaan akan memantau keseluruhan pengeluaran dan eksport sebelum membuat sebarang keputusan.

“Jadi, sebelum Kabinet membuat keputusan yang baharu, keputusan yang saya umumkan hari ini akan terus berjalan selepas daripada 31 Ogos,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof dilaporkan berkata mekanisme pelaksanaan harga siling ayam standard RM9.40 sekilogram di Semenanjung mungkin tidak akan diteruskan kerajaan selepas 31 Ogos memandangkan bekalannya didapati semakin stabil hari demi hari.

Sebelum itu beberapa pihak turut menyarankan agar eskport ayam dibenarkan semula. Kolumis Sinar Harian, Ab Jalil Backer dalam kolum 31 Julai 2022 menyarankan kerajaan mengkaji semula larangan tersebut.

Menurut beliau pembukaan permit import ayam bulat juga gagal menyelesaikan masalah bekalan ayam kerana permintaan tinggi pada bulan Ramadan dan sambutan hari raya Aidilfitri. Kedua, bekalan ayam berhadapan ketidaktentuan sejak tahun lalu berikutan masalah pandemik Covid-19. Para penternak mengurangkan jumlah ternakan ayam mengelak kerugian akibat kekurangan permintaan.

Menurut Ab Jalil lagi, walaupun kerajaan tiada pilihan kecuali melaksanakan larangan eksport dan memberi lebih banyak kebenaran import bagi menstabilkan bekalan ayam dalam negara,  namun ia juga memberi kesan kepada para penternak yang telah mempunyai kontrak dengan negara luar, terutama dengan Singapura.

Malaysia mengeksport 3.6 juta ekor ayam sebulan ke negara luar, manakala keperluan bekalan ayam dalam negara adalah lebih kurang 1.8 hingga 2 juta sehari. Apabila larangan eksport berterusan selama lebih dua bulan dan musim perayaan telah tamat, negara kini berhadapan lambakan ayam pedaging di pasaran berikutan kekurangan permintaan.

Jika sebelum ini ayam dijual semasa berusia 28 hari, kini ada yang melebihi 30 hari baru dapat dijual. Ada yang ‘membuang harga’ hanya untuk memastikan ayam tidak perlu tinggal di ladang.

Bagi kolumnis terbabit, walaupun rakyat gembira kerana harga murah, namun harga murah yang mereka dapat adalah atas kerugian penternak.

“Keadaan ini tidak akan kekal lama kerana penternak akan mengurangkan pengeluaran bagi memastikan mereka kembali mencatatkan keuntungan yang munasabah. Apabila penternak mengurangkan pengeluaran, negara akan kerugian dari segi hasil dan produktivti.”

“Jika ladang yang mampu menghasilkan 1 juta ekor ayam sebulan mengurangkan kepada 500,000 ekor, ia adalah satu kerugian kepada negara dari segi kutipan cukai dan pertumbuhan ekonomi.”

Ab Jalil turut menyarankan agar larangan eksport ini ditarik balik dan diganti dengan satu dasar yang lebih komprehensif bagi membolehkan penternak ayam pedaging berkembang maju.

“Adalah tidak munasabah untuk sebuah negara yang setelah berdekad-dekad lalu mengisytiharkan pertanian adalah satu industri mempunyai polisi yang melarang eksport keluaran pertanian.”

Cadangan Ab Jalil, berbanding mengharamkan eksport ayam secara total, kerajaan boleh merumus dasar yang mensyaratkan nisbah pengeluaran untuk tempatan dan eksport setiap ladang, misalnya 70-30. Jika sejuta ayam dikeluarkan ladang tersebut, maka 700 ribu ekor hendaklah untuk pasaran tempatan.

“Melalui kaedah ini penternak juga boleh memaksimumkan keuntungan untuk ayam yang dieksport bagi menampung keuntungan yang terhad dalam sistem harga siling ayam yang ditetapkan oleh kerajaan.”

“Untuk itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak boleh lagi beroperasi dengan cara lama yang hanya bertindak sekiranya ada masalah; dan memberi penyelesaian separuh masak sehingga menjejaskan industri tani dan kredibiliti peniaga Malaysia di peringkat antarabangsa.”

Bagi Ab Jalil MAFI seharusnya proaktif membuat jangkaan penggunaan dan bekerjasama rapat dengan penternak yang berhasrat mengeksport hasil pengeluaran agar mereka boleh memenuhi tuntutan tempatan tanpa menjejaskan kontrak eksport yang sedia ada.

“Negara ini mempunyai banyak potensi untuk industri pertanian. Dengan nilai ringgit yang rendah berbanding dolar Amerika Syarikat, kita boleh menembusi banyak pasaran negara luar.”

Saranan benarkan eksport semula turut disuarakan oleh Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd., Mazlina Kamarudin MK.

Menurut Mazlina larangan eksport ayam ini menyebabkan lambakan ayam dan memberi tekanan terhadap pemain industri kecil dan sederhana, sekali gus keadaan memaksa untuk bersaing sesama sendiri.

“kesan daripada itu, rata-rata penternak ayam kecil dan sederhana kini terpaksa menjual ayam pada harga rugi, dalam masa yang sama tetap tidak dapat menampung kos.

Tambahnya lagi, lambakan ayam yang berlaku sudah pasti menjejaskan peniaga kecil yang kebanyakannya melibatkan orang-orang Melayu.

“Bekalan untuk ayam hidup kini mengalami lambakan di pasaran, malah saiz ayam itu sendiri meningkat sehingga menjadi tiga kilogram untuk seekor. Sudah tentu dengan saiz besar begitu sukar untuk penternak jual di pasaran.

“Situasi lambakan ini juga menyebabkan pemborong mula menekan penternak untuk mendapatkan harga kos yang tidak masuk akal,” katanya dalam satu kenyataan

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,498FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat