Rekod Pentadbiran BN Bukti Komitmen Kepada Semua Kaum, Isu Perkauman Hanya Propaganda – Jalaluddin

SEREMBAN — Dakwaan bahawa kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan mengancam kepentingan masyarakat bukan Melayu hanyalah propaganda politik yang sengaja dimainkan bagi menimbulkan kebencian dalam kalangan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tuduhan tersebut tidak berasas memandangkan kedua-dua gabungan mempunyai rekod mentadbir masyarakat berbilang kaum.

“Mereka menggunakan sentimen perkauman setiap kali pilihan raya. Mereka cuba menggambarkan seolah-olah Barisan Nasional dan Perikatan Nasional hanya mewakili orang Melayu, sedangkan dalam Barisan Nasional ada MCA dan MIC, manakala dalam Perikatan Nasional pula ada Gerakan serta MIPP yang turut mewakili masyarakat pelbagai kaum.

“Apa yang mereka lakukan ialah cuba menimbulkan kebencian dan ketidakyakinan rakyat terhadap parti lawan. Hakikatnya, Barisan Nasional sudah membuktikan selama puluhan tahun bahawa kita mentadbir kerajaan dengan mengambil kira kepentingan semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program temu bual khas Mandat Negeri Sembilan terbitan Suara TV hari ini.

Menurut Jalaluddin, dakwaan bahawa PAS atau PN akan meminggirkan masyarakat bukan Melayu juga tidak berasas berdasarkan pengalaman pentadbiran di beberapa negeri.

Beliau berkata, rakyat seharusnya menilai rekod pentadbiran sebenar, bukannya mempercayai sentimen yang dimainkan sepanjang kempen pilihan raya.

“Cuba lihat negeri-negeri yang ditadbir PAS seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Tidak timbul keadaan seperti yang didakwa kononnya masyarakat Cina atau India dipinggirkan. Itu membuktikan pentadbiran mereka tetap mengambil kira kepentingan semua rakyat.

“Apa yang penting ialah kita mahu membentuk kerajaan yang menjaga kebajikan orang Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli secara adil. Politik perkauman tidak akan membawa negeri ini ke hadapan, sebaliknya kita perlu bergerak dengan politik yang lebih matang demi masa depan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat supaya menilai tawaran serta rekod pentadbiran setiap gabungan secara objektif dan tidak mudah dipengaruhi dengan dakwaan yang disifatkannya sebagai propaganda politik menjelang hari pengundian.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat