Saifuddin nyatakan sokongan tak berbelah bahagi kepada Anwar, puji kewibawaan PM

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah asas kepada keyakinan serantau terhadap keupayaan Malaysia sebagai pemudah cara berwibawa.

Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kepimpinan Anwar ini bukan datang secara tiba-tiba, tetapi lahir daripada prinsip yang konsisten – menjunjung nilai kemanusiaan, menghormati maruah bangsa lain, dan menjadikan diplomasi sebagai asas kepada penyelesaian konflik.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri.

“Keamanan serantau bukan hanya menyumbang kepada kestabilan geopolitik, tetapi juga memberi kesan langsung kepada keharmonian dalam negara menjadikan sempadan kita lebih selamat, kawalan migrasi lebih tersusun, dan keselamatan awam lebih terjamin.

“Kita mesti terus mempertahankan kepimpinan ini demi Malaysia yang dihormati, Asean yang bersatu, dan dunia yang lebih aman,” seru beliau.

Saifuddin memberitahu, dalam era global yang penuh ketidaktentuan ini, keamanan bukan hanya sebuah aspirasi, tetapi keperluan utama bagi kestabilan dan kemakmuran serantau. Kerajaan Madani Malaysia, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, sekali lagi memperkukuh peranan di persada antarabangsa apabila dua negara jiran Asean Thailand dan Kemboja bersetuju menamatkan persengketaan melalui gencatan senjata yang bermula hari ini.

“Sebagai Pengerusi Asean, Malaysia bukan sahaja memikul amanah besar untuk memantau pematuhan gencatan senjata tersebut, malah memperlihatkan keupayaan diplomasi berasaskan nilai iaitu rundingan, hormat-menghormati dan penolakan terhadap keganasan sebagaimana yang teras dalam Piagam Asean.

“KDN, sebagai peneraju keselamatan dalam negeri, turut memainkan peranan penting dalam aspek pelaksanaan pemantauan, perkongsian maklumat perisikan serantau, serta penyelarasan kawalan sempadan bagi menyokong pelaksanaan gencatan senjata ini secara berkesan. Melalui kerjasama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen, AKPS dan APMM, KDN memastikan tiada elemen rentas sempadan seperti penyeludupan senjata, pemerdagangan manusia atau pergerakan kumpulan ekstremis yang boleh menggugat proses damai ini.

“Pada masa yang sama, KDN juga mengukuhkan jaringan kerjasama keselamatan dua hala dan pelbagai hala bersama rakan setara di Asean, menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai fasilitator diplomasi, tetapi juga sebagai penyumbang aktif dalam membina ketahanan serantau,” katanya.

Jelas beliau lagi, apa yang berlaku antara Thailand dan Kemboja ini menunjukkan bahawa Asean masih relevan sebagai platform damai dan Malaysia sebagai Pengerusi kini menjadi contoh kepimpinan yang berani, matang dan berkesan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand dan Kemboja atas keberanian mereka memilih jalan damai, serta kepada Presiden AS dan China atas sokongan mereka,” ujar Saifuddin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat