KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengumumkan secara keseluruhannya, bagi tahun 2024, kementerian itu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM130 juta bagi kerja-kerja penyenggaraan Berkala Pavemen dan Bukan Pavemen Jalan Persekutuan di Negeri Sabah setakat ini dan sejumlah RM9.979 juta telah diperuntukkan kepada Daerah Tawau.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kalau sebut jalan raya ‘seperti di bulan’, yang paling kerap ditularkan adalah jalan raya di Sabah.
“Rakan-rakan ahli Parlimen dari Sabah juga ada yang datang sendiri kepada saya melaporkan perkara yang sama.
“Saya tidak tutup mata, hari ini (semalam) saya turun ke Tawau Sabah untuk meninjau antara lokasi yang sering dibawa ke perhatian saya – jalan Persekutuan R13 Jalan Sandakan – Tawau iaitu laluan ke Lapangan Terbang Tawau yang mengalami kerosakan struktur jalan dan pembetung.
“Di Seksyen 249.77 sepanjang 0.55 km laluan ini, saya lihat sendiri kerosakan struktur jalan yang memerlukan pembaikan segera. Saya telah meluluskan peruntukan RM1 juta bagi pelaksanaan kerja ini.
“Lokasi kedua pula iaitu di Seksyen 256.295 laluan sama, kegagalan pembetung telah menyebabkan satu laluan terpaksa ditutup. Peruntukan sebanyak RM1.506 juta telah diluluskan bagi kerja pembaikan di lokasi berkenaan,” katanya di Facebook pada Ahad.
Menurut Alexander, beliau memahami, banyak lagi lokasi di sini yang memerlukan tindakan segera.
“Saya dan seluruh pasukan KKR mencuba sebaik mungkin untuk mempertingkatkan mutu jalan raya Persekutuan bersandarkan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat.
“Pada masa yang sama, saya tekankan kepada konsesi penyenggaraan untuk mengekalkan momentum pembinaan dan penyenggaraan jalan raya dengan mutu, kos, dan masa yang terjamin.
“Ini adalah komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat selari Program MYJalan,” katanya.