Agong pun cuba dipermainkan, PH desak tiga figura ini letak jawatan segera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan termasuk Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun melepaskan jawatan segera kerana didakwa sudah tiada integriti.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sidang Dewan Rakyat tidak wajar dijalankan dengan cara menipu seperti ini bahkan sampai ke peringkat Yang di-Pertuan Agong turut cuba dipermainkan.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang dalam sidang medianya di Parlimen pada Khamis mendakwa kelompok yang mempertahankan kuasa ini derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Malah katanya, mereka juga bertindak seolah-olah takut dengan semua bentuk undian di Parlimen kerana sudah nyata kehilangan majoriti.

“Mengambil ketetapan untuk menyatakan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan digugurkan daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan.

“Terdapat dua perkara yang saya nak tambah iaitu keengganan mereka (kerajaan Perikatan Nasional) mengadakan apa saja bentuk undian kerana mereka tahu mereka sudah hilang kepercayaan ahli-ahli Parlimen.

“Kedua setelah titah diraja disampaikan sekali pun mereka masih ingkar dan mencari helah, jadi oleh itu kita tak boleh tunggu lagi, Parlimen sudah bersidang kita sudah menyatakan pandangan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Pun begitu, kata Anwar beliau dan PH akan memantau perkembangan semasa krisis politik ini dalam tempoh sehari dua akan datang sebelum menilai keperluan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kita tengok perkembangan sehari dua ini, kalau perlu ya..kita mohon menghadap,” ujar beliau.

Hal demikian menurut Anwar, majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat menganggap Muhyiddin telah gugur daripada jawatannya selaku Perdana Menteri.

“Jadi ini termasuk kesilapan yang dibuat Speaker Dewan Rakyat, maka usul kami lagi minta Speaker letak jawatan secara terhormat segera.

“… dan tentunya dalam kenyataan Agong hari ini dua kali disebut nama Takiyuddin Hassan, jadi beliau pun perlu letak jawatan segera secara terhormat kerana melakukan kesilapan, ingkar dan mengelirukan dewan.

“Mereka ini sudah hilang integriti untuk berdepan Parlimen dan tak ada majoriti. Agong wajar buat keputusan untuk selamatkan negara daripada kepincangan ini,” ujar Anwar.

Dalam pada itu susulan sesi Dewan Rakyat ditangguh tiga kali har ini, Anwar menanggap alasan saringan COVID-19 sebagai satu lagi bentuk helah kerajaan PN untuk menganggu perjalanan Parlimen.

“Ujian saringan COVID-19 ini sebagai satu lagi helah padahal kita tahu kita boleh melakukan saringan tanpa mempersulit keadaan perjalanan Parlimen,” tegas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat