Mustapa Nafi Seleweng Dana UMNO Seperti Didakwa Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed membuat penafian berhubung kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk mengenai penyelewengan peruntukan Badan Perhubungan UMNO Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Menurutnya, kesemua dana parti telah diuruskan mengikut garis panduan parti termasuklah dana untuk pilihan raya dan diuruskan oleh Jawatankuasa berkenaan di peringkat Badan Perhubungan.

Selain itu beliau turut menafikan bahawa penyertaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah bertujuan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa.

“Saya merujuk kepada laporan media mengenai perbicaraan di Mahkamah Tinggi melibatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk yang telah membuat kenyataan bahawa saya, Ahli Parlimen Jeli merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan pada masa itu, telah menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk bahawa saya telah menyeleweng peruntukan yang disalurkan kepada UMNO Kelantan,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata, selepas PRU-14, dia dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali iaitu pada akhir 2018 dan awal tahun 2019.

“Selepas PRU-14, saya telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali, iaitu pada akhir tahun 2018 dan pada awal tahun 2019.

“Saya dipanggil memberi keterangan mengenai perkara perkara iaitu sebagai bekas Ahli Jemaah Menteri, saya diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan minit Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline

“Sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, saya telah memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang didakwa diperolehi daripada sumber 1MDB,” katanya.

Tambahnya lagi kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini.

“Pihak SPRM telah menafikan perkara ini pada 20 September 2018 manakala Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada masa itu telah memberi penjelasan mengenai pengurusan dana PRU-14 pada 16 Januari 2019.

Beliau menegaskan tuduhan-tuduhan seumpama ini berniat untuk mencemarkan reputasianya sebagai Ahli Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen.

“Saya tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai PPBM dan tidak pernah menyeleweng dana Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan bagi PRU-14.

“Saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat