Parlimen tidak terbubar secara automatik – Dr Shamrahayu

- Advertisement -

CYBERJAYA: Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata tanggapan Parlimen terbubar secara automatik kerana tidak ada persidangan yang berjalan selama enam bulan adalah tidak tepat.

Menurutnya, walaupun tempoh enam bulan tersebut sudah tiba sekiranya dikira dari 29 Disember 2020 sehingga 29 Jun 2021, tafsiran tersebut bagaimanapun masih terikat dengan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa) Perlu 2021 yang selepas penelitiannya mendapati Parlimen masih tidak terbubar secara automatik seperti didakwa.

“Setelah meneliti Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa) Perlu 2021, pada pandangan saya, Parlimen (Dewan Rakyat) tidak terbubar secara automatik walaupun jarak masa enam (6) bulan telah tiba pada 29 Jun 2021 sekiranya dikira dari tarikh 29 Disember 2020.

“Jarak masa 6 bulan antara persidangan akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertama dalam penggal yang berikutnya adalah peruntukan di bawah Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 55(1) adalah berkaitan dengan “memanggil” Parlimen untuk bersidang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya sebentar tadi.

Jelasnya lagi, Seksyen 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) juga menjelaskan secara terang bahawa tempoh enam bulan tersebut tidak memberi kesan terhadap pembubaran Parlimen seperti yang ditafsir oleh individu tertentu.

“Pada Seksyen 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) adalah dinyatakan: “peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan; dan…”.

“Oleh kerana Seksyen 14(1)(a) telah menyatakan, antara lain, “memanggil” Parlimen tidak mempunyai kesan, maka jarak masa enam bulan juga tidak memberi kesan.

“Justeru, pada pandangan saya, Parlimen tidak terbubar secara automatik walaupun jarak masa antara dua persidangan telah melangkau enam bulan,” ujarnya.

Malaysia ketika ini sedang melalui tempoh Darurat selepas Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menggunakan kuasa Baginda berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan perintah tersebut.

Baginda yakin bahawa Darurat ini merupakan langkah paling berkesan buat masa ini bagi menghadapi pandemik Covid-19 yang kini mencecah angka yang sangat membimbangkan dalam negara.

Tempoh Darurat ini berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021 atau satu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid- 19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat