Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika pada Rabu berikutan data sentimen pengguna yang optimistik di Amerika Syarikat (AS), ditambah dengan kenaikan hasil bon Perbendaharaan 10 tahun AS serta kebimbangan baharu mengenai kadar faedah AS akan kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.7030/7060 berbanding dolar AS 4.6890/6910 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit menyusut berbanding dolar AS selepas berlegar sekitar RM4.69 dalam dua hari lepas, dengan Indeks Dolar AS (DXY) naik sebanyak 0.14 peratus kepada 104.76 mata.

“Pasaran dilihat sedang fokus kepada data indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) yang akan dikeluarkan pada Jumaat bagi mendapatkan petunjuk baharu prospek kadar faedah AS.

“Pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS pula pada masa yang sama menjangkakan kadar faedah akan kekal tinggi dan ini akan menyokong dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, lewat malam ini, Laporan Fed Beige akan diterbitkan, yang akan memberikan gambaran keseluruhan keadaan ekonomi AS berdasarkan pertemuan dengan peniaga-peniaga utama, ahli ekonomi, pakar dalam pasaran dan sumber-sumber lain.

“Laporan itu akan memberi lebih banyak pencerahan tentang keadaan ekonomi AS untuk peniaga menentukan hala tuju pasaran,” katanya.

Sementara itu, keyakinan pengguna AS secara tidak dijangka meningkat pada Mei selepas merosot selama tiga bulan berturut-turut.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan itu turun berbanding yen Jepun kepada 2.9923/9944 daripada 2.9876/9890 ketika ditutup pada Selasa, susut berbanding euro kepada 5.1032/1065 daripada 5.1002/1024 dan merosot berbanding pound Britain kepada 6.0010/0049 daripada 5.9897/9923 semalam.

Prestasi ringgit bagaimanapun tinggi berbanding mata wang rakan Asean.

Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.7938/8068 daripada 12.7975/8089 ketika ditutup pada Selasa, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 290.9/291.3 daripada 291.3/291.6 dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 8.04/8.05 daripada 8.09/8.10.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4850/4875 daripada 3.4785/4802 semalam. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat