Oleh: Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Pameran Hanya Satu ‘Single’ ‘Project Temporary Marking’ oleh Zulkefli Jais di Balai Seni Negara (BSN) yang dijadualkan berakhir pada 31 Mei ini akan dilanjutkan sehingga 29 Julai depan.
Ketua Unit Komunikasi Korporat, BSN Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Mohd Zuriyadi Sarpin berkata pameran ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung sejak mula dipamerkan pada 1 Mac lalu dengan menerima hampir 10,000 pelawat.
Menurutnya lagi , pameran ini dihasilkan oleh Zulkefli Jais merupakan cetusan idea yang diangkat sebagai siri ke-7 dalam slot Pameran Hanya Satu ‘Single’.
Zulkefli merupakan pemenang Anugerah Utama pertandingan Bakat Muda Sezaman 2023 dan karyanya berbentuk instalasi, memaparkan pertindihan antara aspek geografi dan sejarah bandar Teluk Intan, Perak yang dikaitkan dengan memorinya sebagai anak jati bandar itu.
“Menariknya, instalasi berbentuk monumen ini dihasilkan daripada gantungan jaket (vest), sebagai lambang kepada Menara Condong yang merupakan mercu tanda Teluk Intan.
“Gabungan jaket ini mewakili perasaan dan ingatan terhadap bencana menimpa pelarian yang berlindung di bandar berkenaan juga menjadi ingatan bahawa setiap sejarah pasti akan berulang.
“Zulkefli bakal mewakili Malaysia ke Gwangju Biennale 2024 di Korea Selatan.
“Pemilihannya ke acara seni visual kontemporari Asia itu mampu mengangkat seni kontemporari Malaysia menerusi kepelbagaian perspektif serta pendekatan sejarah yang mencerminkan keunikan seni di Malaysia.
“Orang ramai dan peminat seni dijemput melawat serta menghayati pameran yang unik ini dan masuk adalah percuma.
Balai Seni Negara mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengunjung yang menyokong pameran ini,” kata Zuriyadi. – Suara.TV