ConocoPhillips tarik diri daripada projek minyak RM13.7 bilion di Sarawak akibat ketegangan dengan Petronas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Gergasi tenaga Amerika Syarikat, ConocoPhillips mengumumkan penarikan diri daripada projek minyak dan gas laut dalam Salam-Patawali di luar pesisir Sarawak, yang dianggarkan bernilai RM13.7 bilion (US$3.13 bilion).

Penarikan diri ini berlaku ketika ketegangan semakin meruncing antara kerajaan negeri Sarawak dan syarikat minyak nasional Malaysia, Petronas, berhubung hak kawalan ke atas sumber hidrokarbon di negeri tersebut.

Projek Salam-Patawali sebelum ini merupakan usaha sama 50-50 antara ConocoPhillips dan Petronas selepas penemuan lapangan pada tahun 2018.

Ia kini terhenti di peringkat kajian kebolehlaksanaan.

Sumber industri memaklumkan bahawa ketidaktentuan peraturan dan pertikaian kuasa antara negeri dan kerajaan Persekutuan menjadi faktor utama yang mendorong keputusan drastik ini.

Kerajaan Sarawak, yang dipimpin oleh Premier Tan Sri Abang Johari Openg, melalui Petroleum Sarawak Bhd (Petros), menegaskan bahawa Ordinan Perlombongan Minyak 1958 memberikan mereka hak penuh ke atas sumber negeri, berbanding Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang memberi kuasa kepada Petronas.

Pertikaian ini telah menyebabkan pelabur antarabangsa menjadi semakin berhati-hati untuk melabur di Sarawak, sekali gus memberi tekanan kepada kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencari jalan penyelesaian segera.

Setakat ini, dua pusingan rundingan di antara Sarawak dan Petronas dilaporkan gagal dan semua perbincangan telah digantung sejak Disember 2024.

Akibatnya, projek besar seperti Salam-Patawali kini berisiko dibatalkan sepenuhnya, lapor CNA.

Lebih membimbangkan, syarikat minyak nasional Thailand, PTTEP, turut dilaporkan menangguhkan keputusan akhir pelaburan dalam projek gas gergasi Lang Lebah di luar pesisir Sarawak, memperlihatkan trend ketidakpastian dalam sektor minyak dan gas negeri itu.

Ketegangan ini juga tercemar dengan isu keselamatan maklumat, apabila seorang bekas pengurus Petronas didakwa cuba membocorkan maklumat sulit kepada Petros, meningkatkan kebimbangan tentang keutuhan kawalan korporat dan keselamatan perniagaan.

Sarawak merupakan penyumbang utama kepada hasil minyak dan gas negara, dengan lebih 60% rizab petroleum Malaysia dan 90% eksport gas asli cecair (LNG) datang dari negeri itu.

Jika pertikaian ini berterusan, bukan sahaja Sarawak, malah Malaysia keseluruhannya akan berhadapan dengan risiko besar dalam sektor tenaga dan pelaburan asing.

Penganalisis industri memberi amaran bahawa kehilangan kepercayaan pelabur dalam sektor tenaga Sarawak boleh memberi kesan jangka panjang terhadap sasaran Malaysia untuk mengekalkan statusnya sebagai hab LNG utama di Asia.

Pemerhati politik pula melihat bahawa penyelesaian isu ini memerlukan pendekatan diplomatik yang lebih agresif daripada kerajaan Persekutuan dan Petronas, memandangkan tuntutan autonomi Sarawak berkaitan sumber asli semakin mendapat sokongan rakyat tempatan.

Dengan industri minyak dan gas menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, jalan penyelesaian yang adil, stabil dan diterima semua pihak amat diperlukan dalam masa terdekat.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat