Akmal harap AGC tak berganjak teruskan pendakwaan KK Mart

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berharap Jabatan Peguam Negara (AGC) kekal dan tidak berganjak daripada keputusannya untuk meneruskan pendakwaan terhadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri yang juga Pengarah syarikat sama, Datin Seri Loh Siew Mui berkait penjualan stoking kalimah Allah.

Tegas Akmal pengekalan pendakwaan itu adalah demi memelihara sensitiviti masyarakat Islam yang jelas terkesan dengan insiden berkenaan.

“Kami berharap pihak Peguam Negara kekal dan tidak berganjak daripada keputusannya untuk meneruskan pendakwaan dan memelihara sensitiviti masyarakat umum, khasnya kepada masyarakat Islam yang telah terkesan akibat insiden dan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini,” kata Ketua Pemuda Umno itu dalam kenyataan pada malam ini.

Mengulas lanjut Akmal berkata, Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberikan Peguam Negara kuasa budi bicara sama ada untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding kes jenayah di mahkamah.

“Mengemukakan surat representasi pula adalah salah satu kaedah biasa yang digunakan oleh Tertuduh yang berhadapan dengan pertuduhan di Mahkamah untuk meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula pertuduhan yang dikenakan.

“Tetapi bagi kes ini, Peguam Negara telah melakukan satu keputusan yang tepat selepas memberikan pertimbangan yang sewajarnya untuk menuduh mereka.

“Kes ini adalah satu kes berkepentingan awam yang serius dan tidak sewajarnya dipandang remeh,” ujar Exco Melaka itu lagi.

Hari ini pemilik KK Mart dan isteri merancang untuk mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas pertuduhan mereka yang dikaitkan dengan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Peguam mereka, Datuk Rajpal Singh berkata beliau telah diarahkan anak guamnya untuk memfailkan surat representasi itu dan akan berbuat demikian dalam masa satu atau dua minggu selepas meneliti dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai masa sebulan untuk berbuat demikian sebelum pengurusan kes pra-perbicaraan pada 10 Jun.

Representasi biasanya untuk memohon penarikan balik atau untuk menurunkan atau mengurangkan pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen diperlukan kepada pihak pembelaan.

Beliau turut memohon semua kes dibicarakan bersama mengikut Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah.

Kedua-dua peguam bela tidak membantah dan hakim Muhamad Anas membenarkan permohonan itu.

Mahkamah menetapkan 10 Jun ini untuk pengurusan kes dan status representasi.

Pada 26 Mac lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah ‘Allah;.

Kee Kan dan Siew Mui didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Turut dituduh tiga individu lain yang juga pengarah syarikat Xin Jiang Chang Sdn Bhd, yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart.

Goh Li Huay, Soh Hui San dan Soh Chin Huat didakwa bersubahat dengan KK Mart dan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 298.

Ketiga-tiga mereka yang mempunyai pertalian antara satu sama juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terbabit.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat