Syed Saddiq usah pandang enteng Bahasa Melayu – Ikmal Hazlan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bahasa Melayu adalah bahasa Malaysia, bukannya bahasa etnik yang terperosok jauh di penjuru global,”bidas Exco Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.

Hal demikian katanya, pemartabatan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tidak seharusnya dipandang enteng atau dianggap sebagai tindakan yang menafikan kepentingan bahasa rasmi dunia, iaitu Bahasa Inggeris.

“Saya amat kecewa dengan kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertajuk “A Vision for language in Malaysia” sebagai seorang ahli Parlimen muda berbangsa Melayu.

“Maka, kerisauan Syed Saddiq berkenaan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan bahasa ibunda negara telah dianggap sebagai langkah untuk meraih sokongan bagi pilihan raya akan datang hanyalah polemik politik semata-mata,” tegas Ikmal Hazlan dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau selaku Ahli Parlimen yang diundi oleh rakyat secara demokratik, Syed Saddiq seharusnya berpandangan jauh dengan menggunakan laras hujah yang membina, bukannya yang berunsur provokatif.

Kata Ikmal Hazlan sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mengunakan dan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja di Malaysia malah di seantero dunia kerana ianya merupakan lambang jati diri warganegara dan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia.

Semalam Syed Saddiq mencadangkan kerajaan untuk menyediakan pelan untuk menangani halangan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia supaya mereka tidak terlepas peluang ekonomi yang lebih besar.

Presiden MUDA itu menegaskan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa perdagangan antarabangsa dan rakyat Malaysia mesti menguasai bahasa itu untuk mendapat akses peluang di seluruh dunia.

“Kita tidak boleh menutup mata dengan fakta ini. Penguasaan bahasa Inggeris dianggap sebagai kualiti penting yang dicari oleh syarikat di Malaysia apabila melihat pada permohonan kerja dan sering menjadi sebab yang disebut untuk persepsi pengangguran graduan Malaysia dalam sektor swasta,” katanya dalam catatan Facebook.

Ahli Parlimen Muar dan bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, walaupun Malaysia berada di kedudukan ke-28 daripada 112 negara dalam Indeks Penguasaan Bahasa Inggeris 2021, rakyat Malaysia tidak seharusnya berbangga kerana negara ini berada di belakang Singapura dan Filipina di Asia.

Susulan itu Ikmal Hazlan mengingatkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.

Menurut beliau kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996).

Namun katanya, pada masa yang sama, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bebas menggunakan bahasa lain seperti Bahasa Mandarin oleh orang Cina dan Bahasa Tamil oleh orang India. Selain itu bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara.

“Jika ditelusuri sejarah, Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama termasuk di dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian sejak daripada pra-kemerdekaan lagi.

“Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia juga merupakan hasil persetujuan dan persepakatan oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini. Begitulah kukuhnya nilai permuafakatan di antara tokoh-tokoh terdahulu dan nilai inilah yang telah membina asas penyatuan dan kebersatuan yang dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari ini,” ujar beliau.

Ikmal Hazlan turut memberikan contoh pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76 utusan khas daripada Korea Selatan telah menyampaikan ucapan mereka menggunakan bahasa rasmi negara mereka.

“Langkah yang diambil oleh utusan khas Korea Selatan ini bukan bermakna mereka menidakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi antarabangsa, malah bahasa Inggeris juga semakin digunakan di negara tersebut tetapi ini menunjukkan bahawa mereka tidak merasa kekok dalam memperakukan dan mempertontonkan kejatidirian bangsa mereka di mata antarabangsa,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, beliau akan berbincang dengan pemimpin Asean untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda Malaysia di peringkat antarabangsa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat