PM Diberi Sambutan Rasmi Di Amiri Diwan Qatar

- Advertisement -

DOHA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberikan sambutan rasmi di Amiri Diwan di sini hari ini bersempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Qatar.

Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani menyambut Ismail Sabri sebaik sahaja beliau tiba di Amir Diwan pada pukul 11 pagi waktu tempatan.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum kedua-dua pemimpin itu memeriksa barisan kawalan kehormat oleh Pengawal Istiadat Amiri.

Amiri Diwan adalah dewan pemerintahan Negara Qatar. Ia adalah badan berdaulat dan pejabat pentadbiran Amir Qatar.

Selepas upacara sambutan rasmi itu, Ismail Sabri dan delegasi Malaysia menghadap Amir Qatar sebelum menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan baginda bersempena lawatan rasmi Perdana Menteri.

Ini merupakan lawatan julung kali Ismail Sabri ke Qatar selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos tahun lepas. Beliau tiba di sini pada Sabtu.

Delegasi Malaysia ke Qatar termasuk Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup dan Duta Besar Malaysia ke Qatar Zamshari Shaharan.

Perdana Menteri akan mengadakan satu sidang akhbar bersama media Malaysia di Hotel St Regis sebelum berlepas ke Dubai hari ini. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat