Peranan Jurutera JKR penting kepada pembangunan, kesejahteraan rakyat dan negara – Menteri Kerja Raya

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Peranan Jurutera sebagai tenaga kerja penting dalam menjayakan agenda dan halatuju Kementerian Kerja Raya (KKR) yang lebih berdaya saing agar memenuhi penanda aras jabatan sekaligus menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata demikian ketika hadir bersama Timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sesi dialog bersama 86 Jurutera Daerah dan Jajahan, Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini pada Selasa.

Katanya, Jurutera merupakan pegawai yang berperanan sebagai jambatan penghubung antara pihak negeri dan persekutuan dalam semua urusan penyenggaraan, pengurusan dan pemantauan kerja-kerja di bawah JKR.

Menjadi prioriti saya untuk bertemu dengan mereka agar interaksi dua hala ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta memahami aspirasi masing-masing agar semangat bekerja dapat dipertingkatkan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Menurutnya, sesi townhalini diadakan untuk menyampaikan hala tuju program KKR di samping membuka peluang kepada Jurutera untuk berkongsi pandangan dan cabaran yang memerlukan perhatian kerajaan persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluncurkan kempen dan aplikasi MYJalan pada Ogos tahun lalu namun sehingga ke hari ini, masih ada yang belum mendalami objektif dan semangat kempen ini.

“Saya telah memperkenalkan kempen ini untuk menyemai sifat akauntabiliti dalam kalangan semua pihak, menjaga infrastruktur jalan, bukan sahaja terletak di bahu pegawai dan jurutera JKR malah pengguna jalan, turut sama menjaga aset tersebut demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.

Kempen ini juga dilaksanakan bagi mendapatkan kerjasama dari kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha pihaknya untuk memantapkan lagi perkhidmatan infrastruktur negara, ”katanya.

MENTERI Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sesi dialog bersama 86 Jurutera JKR Foto KKR

“Usaha ini tidak mudah tetapi saya yakin kita harus berani mencuba sesuatu, namun selepas hampir 6 bulan pelaksanaannya telah meningkatkan akauntabiliti malah mampu menjana manfaat dalam aspek pengumpulan data aduan, ”katanya lagi.

Menurutnya, data yang terkumpul boleh dianalisis secara analitik dan diterjemahkan sebagai bahan justifikasi untuk mendapatkan lebih peruntukan untuk kerja penyenggaraan pelbagai kerosakan jalan dari kerajaan persekutuan dan negeri melalui
Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Menurutnya lagi, data-data ini mampu dianalisis dengan lebih mendalam bagi tujuan pemantauan prestasi kerja konsesi dan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti kerja penyenggaraan.

“Saya akan mewujudkan ‘KPI Konsesi’ untuk memantau prestasi kerja semua konsesi yang menyenggara jalan persekutuan melalui aplikasi aduan MYJalan bagi memastikan manfaat secara optimum dapat dinikmati oleh rakyat, ”tegasnya.

“Pada tahun ini, kempen MYJalan telah diperkasakan menjadi program MYJalan dan ianya telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pengumpulan data aduan kerosakan jalan di seluruh negara.

Lebih 75% daripada aduan yang diterima melalui aplikasi MYJalan adalah berkaitan kerosakan di jalan bandaran, negeri dan persekutuan, ”katanya.

“Ini menunjukkan pentingnya jalinan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan PBT bersama KKR bagi menangani kes aduan yang diterima, disalur diberi perhatian dan tindakan segera oleh pihak yang bertanggungjawab, ”katanya lagi.

Hala tuju program ini mampu diperkasakan dengan penglibatan proaktif Jurutera di setiap negeri bagi menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan jalan persekutuan di samping memudahcarakan penyaluran aduan ‘No Wrong Door Policy’ kepada pihak berkaitan.

“Kerajaan sendiri memperaku kejayaan inisiatif ini yang menyaksikan pertambahan peruntukan Bajet 2024 bagi kerja penyenggaraan kepada hampir RM1 billion berbanding tahun lalu, ”jelasnya.

Menurutnya, penambahan peruntukan daripada RM100,000 kepada RM200,000 untuk 115 Jurutera daerah di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan RM 30 juta menerusi Bajet 2024 merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

“Saya dimaklumkan bahawa skop kerja yang dilaksanakan menggunakan peruntukan itu di setiap daerah untuk jalan rosak, berlubang, papan tanda, kemudahan awam, perabot jalan, tanah runtuh, garisan jalan dan halangan, ”katanya.

“Di samping melaksanakan
tugas yang digalas, Jurutera harus memainkan peranan memperkasakan Dasar Anti-Rasuah JKR bagi menzahirkan komitmen ke arah penambahbaikan sistem, prosedur dan kod etika kerja untuk meningkatkan keyakinan pemegang taruh, pelanggan serta menjaga imej kementerian dan jabatan, ”tambahnya.

“Semua Jurutera dapat berganding bahu , bak kata pepatah ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing‘ untuk menjayakan MYJalan dan lain-lain program dengan proaktif, berintegriti dan amanah demi kesejahteraan rakyat Malaysia,”ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KKR (Dasar & Pembangunan) Dato’ Zahrul Hakim Abdullah, TKSU KKR (Pengurusan) Mohd Sakeri Abdul Kadir, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) Dato’ Ir. Hj. Badioezaman Ab Khalik, Timbalan KP Kerja Raya (Sektor Pakar) Datuk Sr. Amran Mohd Majid dan Pengarah Kanan Cawangan Jalan, Dato’ Ir. Hj. Ibrahim Esa. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat