KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan amaran tegas kepada agensi penguatkuasaan susulan kebimbangan terhadap kegiatan rasuah, pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti jenayah lain yang didakwa masih berleluasa.
Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, beliau menyatakan rasa dukacita apabila perkara tersebut masih berlaku selepas tiga tahun pentadbiran kerajaan, malah mendakwa sebahagiannya berpunca daripada kelonggaran atau keizinan dalam kalangan penguat kuasa sendiri.
Menurut beliau, satu tempoh seminggu diberikan kepada pimpinan dan anggota agensi penguat kuasa untuk menilai keupayaan masing-masing sama ada mampu memikul amanah dengan tegas dan berani.
Anwar menegaskan, mereka yang merasakan tanggungjawab tersebut terlalu berat atau terdedah kepada godaan rasuah disaran berundur dan memberi laluan kepada pihak yang lebih berintegriti.
Bagaimanapun, beliau menyatakan keyakinan masih wujud terhadap majoriti anggota penguat kuasa yang jujur, ikhlas dan berintegriti dalam melaksanakan tugas demi kepentingan negara.
Beliau turut mengingatkan bahawa pangkat dan darjah kebesaran bukan sekadar simbol, sebaliknya satu amanah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.



