Dakwaan Muhyiddin mahu jawatan Pengerusi PN kembali tidak tepat, bertentangan dengan hasil pertemuan Bersatu dan PAS – Dr Marzuki

KUALA LUMPUR, – Dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berusaha kembali memegang jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) adalah tidak tepat dan bercanggah dengan hasil pertemuan pimpinan tertinggi BERSATU dan PAS pada 16 Januari lalu, jelas penganalisis politik Dr Marzuki Mohamad.

Marzuki yang pernah menjadi Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin mendakwa perbincangan antara kedua-dua parti tersebut tidak pernah menyentuh soal menghidupkan semula jawatan Pengerusi PN, sebaliknya tertumpu kepada keperluan melantik seorang pengerusi bagi Majlis Presiden PN sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan gabungan itu.

“Jadi yang tuduh Tan Sri Muhyiddin dah letak jawatan tapi nak balik jawatan ni kenapa?” katanya menerusi catatan terbaharu.

Marzuki menjelaskan bahawa Fasal 7A Perlembagaan PN menetapkan Majlis Presiden dianggotai oleh semua Presiden parti komponen dan mempunyai kuasa membuat keputusan muktamad berkaitan dasar utama gabungan.

Beliau turut menegaskan bahawa meskipun Muhyiddin telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, beliau masih kekal sebagai ahli Majlis Presiden kerana memegang jawatan Presiden BERSATU.

“Sebagai Presiden BERSATU dia dah ada pun dalam Majlis Presiden,” katanya.

Marzuki berkata, apabila Muhyiddin berundur daripada jawatan pengerusi, timbul keperluan untuk melantik pengerusi Majlis Presiden bagi memastikan mesyuarat dapat dipanggil dan dipengerusikan.

“Kalau tidak siapa nak memanggil mesyuarat dan mempengerusikan mesyuarat?” ujarnya.

Beliau memaklumkan dalam pertemuan 16 Januari di kediaman Muhyiddin, dicadangkan supaya Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Presiden dengan persetujuan presiden-presiden parti anggota yang lain, selain persetujuan untuk memperkasakan fungsi Majlis Presiden.

“Cuma sekarang nak lantik dia jadi pengerusi majlis dengan persetujuan tiga orang Presiden yang lain. Kalau setuju jadilah, kalau tak setuju tak jadilah,” katanya.

Dalam masa sama, Marzuki menyatakan jawatan Pengerusi Majlis Eksekutif PN boleh diserahkan kepada PAS, termasuk kemungkinan melantik Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man atau Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar.

Beliau turut berpandangan jawatan Pengerusi PN tidak lagi berbangkit kerana tiada kesepakatan dalam kalangan parti anggota, yang boleh menyebabkan kebuntuan jika isu tersebut dibangkitkan semula.

“Kalau jawatan tersebut masih nak diwujudkan, bincang baliklah,” katanya.

Isu kepimpinan PN kembali menjadi perhatian susulan perbincangan penstrukturan semula gabungan selepas Muhyiddin dilaporkan melepaskan jawatan pengerusi dalam perkembangan dalaman melibatkan PAS dan parti-parti komponen lain.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat