Tiada pengkhianatan libatkan ADUN PAS dan BERSATU – Ketua Dewan Ulama PAS Perlis

KANGAR, 27 Disember 2025 — Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ahmad Adnan Fadzil berpandangan bahawa tiada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS mahupun BERSATU yang terlibat dalam kemelut politik Perlis bertindak sebagai pengkhianat parti.

Menurut beliau, dakwaan pengkhianatan yang dilemparkan terhadap beberapa pimpinan hanyalah persepsi yang timbul akibat kegagalan pihak tertentu memainkan peranan dan tanggungjawab sewajarnya sejak awal, sehingga mencetuskan kekeliruan dan ketegangan politik seperti yang berlaku ketika ini.

“Saya kenal YAB Cikgu Shukri, saya juga kenal YB Saad, YB Us Ridhuan dan YB Fakhrul. Mereka semua rakan setia dalam PAS. Tiada siapa daripada mereka yang mengkhianati parti,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Ahmad Adnan turut menegaskan bahawa kemelut yang berlaku tidak wajar ditafsirkan sebagai isu pengkhianatan, sebaliknya berpunca daripada kegagalan mengurus peranan dan komunikasi secara berkesan sebelum ini.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menolak dakwaan penglibatan pihak luar dengan menyatakan bahawa BERSATU serta DSSK, yang merujuk kepada Shahidan Kassim, tidak terlibat dalam kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.

Bagaimanapun, pandangan yang disuarakan oleh Ahmad Adnan ini dilihat bertentangan dengan pendirian PAS pusat yang sebelum ini memutuskan untuk menghentikan keahlian tiga ADUN PAS di Perlis susulan kemelut sokongan politik dalam Dewan Undangan Negeri.

Keputusan PAS pusat itu diumumkan sebagai langkah disiplin parti terhadap tindakan yang dianggap bercanggah dengan pendirian dan keputusan rasmi parti, sekali gus mencerminkan perbezaan pandangan antara kepimpinan pusat dan sebahagian pimpinan negeri berhubung punca sebenar krisis politik Perlis.

Ahmad Adnan dalam pada itu mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau andaian tanpa mengetahui keseluruhan cerita sebenar, sebaliknya menyerahkan urusan penyelesaian kepada pimpinan dan pihak yang terlibat agar kemelut ini dapat diselesaikan secara berhemah dan damai.

Dalam nada keagamaan, beliau turut menyeru umat Islam agar mendoakan keadilan daripada Allah SWT, termasuk memohon agar pihak yang melakukan kejahatan dikenakan balasan sewajarnya kecuali mereka yang bertaubat, selain memohon agar pihak yang tersalah diperbetulkan dan mereka yang dizalimi diberikan pertolongan.

Beliau juga menggesa agar semangat kasih sayang sesama saudara Islam terus dipelihara serta mengingatkan bahawa kehidupan bukan hanya di dunia, tetapi juga di akhirat, sambil menasihatkan semua pihak supaya menjauhi sikap mengadu domba yang boleh memecahbelahkan ummah. – SuaraTv

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat