KUALA LUMPUR – Tindakan menyebat kesalahan khalwat di khalayak ramai bukan hukum Allah dan Rasul sebaliknya ia hanyalah pilihan penguasa semata.
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd. Asri Zainul Abidin menyatakan, di bawah takzir yang merupakan ijtihad pemerintah yang mungkin salah dan betul.
Maka katanya, membantah hukuman itu hanyalah membantah keputusan pemerintah, bukan membantah ajaran Islam.
“Jangan ada yang terlebih lajak menganggap orang tidak bersetuju dengan hukuman itu tidak bersetuju dengan Islam.
“Pun begitu, hukum sebat tanpa mencederakan ke atas penzina memang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah. Itupun dengan syarat dan peraturan ketat yang ditetapkan.
“Kes itu hendaklah disaksikan oleh empat orang saksi yang dipercayai yang benar-benar menyaksikan kemaluan lelaki masuk ke dalam faraj perempuan yang terbabit.
“Dalam kata lain, hampir mustahil untuk kita menemui pasangan berzina membiarkan empat orang saksi yang baik menonton perzinaan mereka melainkan pasangan tersebut memang pejuang zina secara terbuka,” jelas beliau dalam kenyataan pada Sabtu.
Memperincikan perkara itu, Dr Maza berkata jika tidak, kes zina hanya boleh sabit dengan pengakuan yang berterusan oleh pelaku zina meminta dia dihukum sedangkan pihak mahkamah pula berusaha mengelakkan hukuman.
“Adapun qarinah (kaitan bukti) zina, itu banyak jalan keluar agar tidak dihukum.
“Kesimpulannya, Islam anti gosip dan tidak suka pelaksanaan hukuman zina melainkan ternyata seseorang itu memang penzina tegar secara terang tanpa selindung, atau dia sendiri benar-benar menuntut dirinya dihukum.
“Adapun penuduh orang lain zina tanpa bukti yang ditetapkan syarak, lebih mudah untuk disebat di khalayak ramai dibandingkan penzina sendiri.
“Jelas, Islam anti mulut celupar dan suka menjadikan dosa peribadi antara hamba dengan Allah semata sebagai bahan masyarakat.
“Pemerintah pula dituntut oleh Islam agar menutup ruang dosa peribadi dijadikan bahan mainan rakyat. Banyak nas Islam dalam hal itu jika hendak dibahaskan.
“Adapun khalwat, tiada penetapan syarak menyuruh mereka disebat di khalayak ramai. Bahkan, menyebat kes seperti itu di khalayak ramai dibimbangi bercanggahan dengan kehendak syarak yang menyuruh menutup keaiban peribadi individu,” jelas Dr Maza.
Jumaat lalu, pesalah khalwat berulang selasai menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai yang dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di Terengganu.
Sebatan syariah yang hanya mengambil masa dua minit dilaksanakan pegawai sebat daripada Penjara Marang, Terengganu.
Seramai 90 individu termasuk Exco kerajaan negeri turut menyaksikan pelaksanaan sebatan yang diadakan di Dewan ‘AAsim masjid berkenaan.
Mohd Affendi Awang, 42 menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai.
Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 Nov lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.